Kerajaan mahu perkenal sesi khas PM jawab soalan di Parlimen

Kerajaan bercadang menubuhkan Suruhajaya Perkhidmatan Parlimen bagi memisahkannya daripada eksekutif.

PETALING JAYA: Kerajaan mahu memperkenalkan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat berdasarkan amalan serupa di Parlimen British.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming berkata, PMQ akan dikhaskan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, untuk menjawab soalan ahli Parlimen.

“Beliau tidak boleh mewakilkan tugas itu kepada timbalannya,” kata Nga dalam satu temu bual media.

“Kami sebenarnya merancang untuk menyiarkan secara langsung ‘sesi soal jawab’ itu supaya anda tidak perlu bergantung pada berita tidak berasas,” katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Sesi baru itu dijangka bermula pada Julai ini, iaitu 2 tahun selepas Speaker sebelum ini, Pandikar Amin Mulia, memperkenalkan sesi Soal Jawab Menteri pada Oktober 2016, yang mengambil bentuk 2 sesi setengah jam pada Selasa dan Khamis.

Pada masa itu, wakil pembangkang dalam dewan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) menuntut supaya diperkenalkan juga sesi Soal Jawab Perdana Menteri.

Nga berkata, “Hari Kementerian” mungkin juga diperkenalkan yang akan menyakskan setiap kementerian menjawab pertanyaan pada hari tertentu.

“Sebagai contoh, Isnin akan menjadi Hari Kementerian Kewangan. Jadi menteri terbabit, Lim Guan Eng, wajib hadir ke Parlimen untuk menjawab soalan berkaitan kementerian beliau. Pada hari lain, beliau boleh fokus kepada kerjanya dan tidak perlu menghabiskan masa sepanjang minggu di Parlimen,” beliau dilaporkan berkata.

Nga berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen bagi memisahkan Parlimen dengan eksekutif.

Pada masa ini, menteri hal ehwal undang-undang, Liew Vui Keong dari Jabatan Perdana Menteri menyelia urusan Parlimen.