Lantik Vivian jadi menteri untuk kotakan janji anda, bekas ketua menteri beritahu DAP

Yong Teck Lee ialah presiden Parti Maju Sabah dan bekas ketua menteri Sabah. (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri, Yong Teck Lee mencabar DAP melantik Ahli Parlimen Sandakan yang baru, Vivian Wong sebagai menteri di peringkat negeri atau persekutuan supaya beliau boleh melaksanakan janji Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil.

Presiden Parti Maju Sabah itu berkata, ini akan membolehkan Vivian mengetuai sebuah majlis khas untuk mengembalikan zaman kegemilangan Sandakan seperti yang dicadangkan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang 3 hari menjelang pilihan raya kecil Sandakan.

Lim dilaporkan berkata, majlis itu yang akan diketuai Vivian akan tampil dengan rancangan bersepadu untuk memulihkan bandar itu.

“Ia akan menjadi tugas mustahil bagi seorang ahli Parlimen biasa dan seseorang yang baru untuk mempengerusikan jawatankuasa berkluasa tinggi yang terdiri daripada menteri, penjawat awam, pemimpin perniagaan dan komuniti.

“DAP patut melakukan perkara betul dengan mencalonkan ahli Parlimen baru itu sebagai menteri di Kabinet Sabah atau lebih baik di Kabinet peringkat persekutuan.

“Jika tidak, bagaimana Kit Siang mengharapkan seorang ahli Parlimen baru mendapat pengaruh diperlukan bagi meyakinkan menteri lain menggerakkan jabatan kerajaan bagi merangka dasar baru dan keyakinan komuniti perniagaan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, ahli majlis khas itu akan terdiri daripada menteri persekutuan dan negeri yang akan mengemukakan satu rancangan bersepadu untuk memulihkan Sandakan.

Katanya, majlis itu akan memberi idea mengenai isu seperti pelancongan, infrastruktur, bekalan elektrik dan air, kesihatan serta kerajaan tempatan.

Yong menggesa PH untuk bertindak segera, bukannya memberi alasan selepas menang di PRK Sandakan semalam kerana rakyat mahu semua “janji hebat” itu dipenuhi tanpa sebarang penangguhan.

“Selepas pilihan raya umum lalu, PH memberi alasan manifesto pilihan raya umum ke-14 mereka pada 2018 tidak boleh dilaksanakan kerana mereka tidak jangka akan memenangi PRU tahun lalu.

“Tetapi, bagi PRK Sandakan, PH sudah menjadi kerajaan dan tahu sumber serta kekangan dihadapi kerajaan.”

Katanya, apa yang difikirkan orang Sabah ialah pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai dana pembangunan RM2.28 bilion untuk Sandakan 4 hari sebelum hari pencalonan PRK itu.

Beliau berkata, DAP menekankan janji itu dengan risalah kempen berwarna-warni.

“Ekonomi Sabah, termasuk Sandakan akan berkembang jika kerajaan Sabah mempunyai lebih banyak dana untuk pembangunan,” katanya sambil menambah menteri kewangan perlu mengotakan janjinya kepada orang Sabah untuk mengembalikan hasil cukai yang dikutip di Sabah dan 20% royalti minyak kepada negeri itu.

Vivian yang mendapat 16,012 undi, menang dengan majoriti 11,521 undi selepas menewaskan pencabar terdekatnya dari Parti Bersatu Sabah, Linda Tsen yang memperolehi 4,491 undi.

Tiga lagi calon bebas hilang deposit mereka, iaitu Hamzah Abdullah hanya mendapat 788 undi, Chia Siew Yung (178 undi) dan Sulaiman Samat (126 undi).

Majoriti yang diperolehi Vivian lebih banyak daripada majoriti 10,098 undi yang diraih bapanya, Stephen Wong pada PRU14 tahun lalu.

DAP menang di semua daerah undi Sandakan

Sementara itu, Guan Eng berkata, DAP terkejut dengan kemenangan besar di Sandakan, di mana calonnya mampu meraih majoriti lebih besar walaupun peratusan keluar mengundi berkurangan 18% semalam daripada 72% pada PRU14.

Katanya, DAP turut menang di semua daerah mengundi di Sandakan, termasuk undi pos di kubu kuat Barisan Nasional, iaitu Pulau Berhala dan Kampung Sim Sim.

Guan Eng berkata, kemenangan itu berdasarkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap kombinasi politik Parti Warisan Sabah, DAP dan PH di Sabah.

Beliau turut menyenaraikan 6 faktor kemenangan DAP di Sandakan, iaitu keyakinan dan sokongan penuh pengundi kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad serta Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, penolakan kerajaan “rasuah dan kleptokrasi” terdahulu, jentera pilihan raya DAP dan sokongan kuat daripada Warisan serta PH, projek pembangunan bagi Sandakan serta kerja baik Stephen sebelum ini.