‘Malaysia Baru’ tak bebas selagi Akta Hasutan wujud, kata Zunar

Zunar kecewa dengan PH kerana gagal menghapuskan Akta Hasutan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan seperti dijanjikan gabungan itu dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu.

KUALA LUMPUR: Kartunis politik, Zulkiflee Anwar Haque yang lebih dikenali sebagai Zunar, berkata tiada kebebasan dalam Malaysia Baru pimpinan Pakatan Harapan selagi kerajaan enggan memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Zunar berkata, walaupun beliau bebas daripada dakwaan hasutan dan boleh ke luar negara sekarang, tetapi tiada jaminan kerajaan tidak akan menggunakan undang-undang itu terhadapnya pada masa depan.

“Jadi, saya tidak boleh kata kebebasan lebih baik sekarang, kecuali kerajaan memansuhkan undang-undang ini dan menjelaskan dalam rekod.

“Dua akta ini masih ada. Kerajaan mungkin tidak menggunakannya sekarang, tetapi mungkin menggunakannya pada masa depan. Tiada jaminan,” katanya kepada FMT selepas melancarkan karya terbarunya bertajuk “Fight Through Cartoons” hari ini.

Katanya, beliau kecewa dengan PH gagal menghapuskan akta itu seperti dijanjikan dalam manifesto mereka dan menggesa kerajaan mengambil langkah berani untuk memastikan pembaharuan radikal berlaku.

Zunar berikrar akan terus mengkritik kerajaan seperti yang dilakukannya ke atas pentadbiran terdahulu melalui kartunnya.

“Tidak mungkin akan akan memberi pengecualian kepada kerajaan sekarang. Mereka akan dikritik, mereka akan dipantau.”

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan beberapa pemimpin dan ahli politik yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

“Sekurang-kurangnya kita boleh lihat ini berlaku sekarang. Kita tidak akan lihat ini berlaku jika Barisan Nasional masih berkuasa.”