PBS gesa polis siasat dakwaan beli undi di PRK Sandakan

Joniston Bangkuai menggesa polis berusaha menyiasat dakwaan pembelian undi dalam PRK Sandakan semalam.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kalah dalam pilihan raya kecil Sandakan semalam menggesa polis berusaha menyiasat dakwaan pembelian undi dalam PRK semalam.

Ketua Penerangan PBS, Joniston Bangkuai menggesa pihak berkuasa “menyiasat dengan penuh profesional” laporan mengenai dakwaan menyogok pengundi.

Beliau menyifatkan tindakan membeli undi ialah sindiran dan ancaman serius kepada demokrasi.

“Saya merayu pengundi Sandakan menunjukkan integriti mereka sebagai pembela keadilan yang menuntut pilihan raya adil dan bersih, untuk tampil dan memberi apa saja maklumat yang mereka ada mengenai dakwaan pembelian undi kepada polis.

Bangkuai mengulas satu kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah semalam yang polis sedang menyiasat dakwaan pengundi menerima wang bagi PRK Sandakan.

Omar dilaporkan berkata, polis menerima satu laporan berhubung dakwaan kesalahan itu pada 12.06 pagi 11 Mei lalu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 10B Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Katanya, seorang penyokong dari sebuah parti lawan mendakwa penyokong DAP terbabit dalam pembelian undi, membuat laporan kepada polis.

“Kami percaya polis akan menyiasat dakwaan itu secara profesional,” kata Bangkuai.

Adun Kiulu itu turut menggesa badan pemantau pilihan raya bebas, Bersih untuk menyiasat dakwaan itu.

“Sebagai pemantau pilihan raya bebas, kami menggesa Bersih untuk menyenaraikan dakwaan pembelian undi dalam laporan mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Bersih yang menekankan dan menegur parti bertanding yang dilihat melanggar peraturan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin turut mendakwa politik wang sebagai punca kehilangan banyak undi di kawasan Bumiputera Islam yang menyebabkan kekalahan calon PBS, Linda Tsen.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe menolak dakwaan pembelian undi sebagai tidak berasas.

“Seperti apa yang pengerusi SPR cakap semalam, PRK itu ialah teladan bagi pilihan raya.

“Kita semua sudah mematuhi peraturan dan undang-undang. Tetapi, kita tidak boleh menghalang orang membuat laporan polis,” katanya kepada FMT.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Bung Mokhtar memalukan 9,700 ahli Umno di Sandakan dengan dakwaan pembelian undi.

“Mengarut betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Calon DAP, Vivian Wong yang mendapat 16,012 undi, memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 11,521 undi untuk menewaskan pencabar terdekatnya, Tsen.

Ia melebihi majoriti 10,098 undi yang dimenangi bapanya, Stephen Wong dalam pilihan raya umum tahun lalu dengan mengalahkan Lim Ming Hoo (BN-LDP).