3 letupan gegar selatan Filipina menjelang pilihan raya

3 letupan menggegarkan bandar Cotabato dan Maguindanao beberapa jam sebelum berlangsungnya pilihan raya pertengahan penggal di Filipina. (Gambar Facebook)

MANILA: Sekurang-kurangnya 3 letupan bom mengegarkan bandar Cotabato dan Maguindanao di selatan Filipina, beberapa jam sebelum berlangsungnya pilihan raya pertengahan penggal, lapor agensi berita Xinhua.

Pegawai Polis Cotabato Leftenan Teofisto Ferrer berkata letupan pertama berlaku kira-kira pukul 10.15 malam Ahad (waktu tempatan) di luar kompleks Dewan Bandaraya Cotabato.

Ferrer berkata suspek yang membaling bom mortar itu masih belum dikenal pasti.

Letupan ke-2 berlaku kira-kira pukul 1 pagi pada Isnin di sebuah dewan perbandaran di Datu Odin Sinsuat di wilayah Maguindanao.

Kejadian ke-3 berlaku beberapa jam kemudian di pekan Datu Odin Sinsuat, Maguindanao kira-kira 7.20 pagi, menurut Ketua Umum Angkatan Tentera Filipina Noel Detoyato.

Tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.

Lebih 60 juta pengundi di seluruh negara akan mengundi pada Isnin bagi memilih senator baru, ahli Dewan Rakyat dan pegawai tempatan.