Didakwa paksa batal acara Gawai untuk menteri, wakil rakyat bidas bekas wartawan

Nancy Shukri berkata Ketua Kampung, Sili Bunsi di kirinya pada sidang media di Kuching.

KUCHING: Seorang ahli Parlimen hari ini menafikan dakwaan seorang bekas wartawan yang mendakwa beliau memaksa seorang ketua kampung membatalkan sambutan perayaan Gawai yang sepatutnya melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri sedang mempertimbangkan laporan polis atau tindakan undang-undang terhadap bekas wartawan, Joseph Tawie berkenaan kata-katanya di dalam talian, yang menurut Nancy sudah menjejaskan nama baiknya.

“Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan seperti yang didakwa Tawie. Saya menganggap perkara ini suatu dakwaan serius yang mesti ditangani segera,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, Tawie di Facebook di mendakwa Nancy mengarahkan Sili Bunsi, tuai rumah Sungai Buluh, jangan mengalu-alukan Gobind Singh Deo ke rumah panjangnya untuk perayaan Gawai.

Tawie berkata tuai rumah itu sebelum ini bersetuju untuk menganjurkan majlis Gawai khas untuk mengalu-alukan menteri persekutuan tetapi menghubungi pegawai khas menteri itu 3 hari kemudian dan berkata dia terpaksa membatalkan sambutan itu.

Tawie kemudian berkata: “Mengapa seorang bukan Dayak beritahu seorang tuai rumah siapa yang patut atau tidak patut melawat rumah panjangnya semasa perayaan Gawai?”

Bagaimanapun, ketua kampung tersebut, Sili Bunsi hari ini berkata dia tidak pun memberi jawapan kepada cadangan sambutan itu apabila dia dihubungi beberapa individu yang mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Saya banyak berfikir mengenainya dan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat bersama orang-orang kampung. Kami memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan itu kerana tiada menteri negeri atau ahli Parlimen negeri akan diundang ke sambutan itu.

“Kami tidak mahu mereka mempolitikkan perayaan Gawai. Ini bukan arahan daripada mana-mana ahli Parlimen negeri atau menteri negeri,” katanya.

Nancy berkata Binsi ada berbincang dengannya mengenai perkara itu dan Nancy memberitahunya jika tidak selesa menganjurkan sambutan perayaan Gawai untuk menteri, Bisin boleh mengadakan sambutan perayaan Gawai seperti yang biasa dilakukannya.

“Saya ingin menegaskan kepada tuai rumah, bahawa keputusan muktamad mengenai siapa yang diundang terletak di tangannya dan dia haruslah membuat keputusan yang paling menyenangkan baginya,” katanya.

Tawie juga berkata kerajaan negeri tidak patut menyalahkan Putrajaya jika tidak menerima sebarang peruntukan selepas “menikam belakang” kerajaan persekutuan dengan memperkecil-kecilkan dan tidak menghormati menteri-menteri persekutuan dan pegawai-pegawai persekutuan.

Nancy berkata Gawai, atau perayaan menuai dalam kalangan orang Dayak, harus dibebas daripada isu-isu politik.