Majlis perubatan akan bertindak terhadap doktor anti-vaksin, kata Dzulkefly

KLANG: Masyarakat digalakkan membuat laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) jika mendapati doktor-doktor menyokong kumpulan anti-vaksin supaya MMC dapat mengambil tindakan sewajarnya, jika perlu, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata sebarang tindakan terhadap doktor yang dikesan menyokong kumpulan anti-vaksin bawah bidang kuasa MMC, dan Kementerian Kesihatan sentiasa memantau perkembangan kumpulan tersebut.

Dzulkefly berkata kementerian mengambil pendekatan untuk terus berdialog dengan golongan itu bagi menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin kepada semua bayi dan kanak-kanak.

“KKM memang sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan anti vaksin ini. Jika mereka mempunyai pendapat mereka, kita juga ada hujah kita sendiri.

“Mereka tidak boleh sekadar menyatakan pendapat mereka secara ‘satu hala’ saja, mereka perlu berdialog dengan kita dan kita bersedia untuk berkongsi pentas dengan mereka bagi bercakap mengenai isu ini jika mereka mahu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini.

Ditanya mengenai bilangan doktor yang dikesan menyokong gerakan antivaksin itu, Dzulkefly berkata pihaknya tidak ada membuat pemantauan mengenai isu berkenaan.

Mengulas kertas cadangan kementerian yang mahu mewajibkan bayi dan kanak-kanak diberi suntikan vaksin, beliau berkata ia kini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

“Saya dimaklumkan oleh ketua pengarah kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) bahawa jawatankuasa terlibat telah membentangkan kertas cadangan itu kepadanya dan beliau pula akan bentangkan kepada saya, sebelum saya membawanya kepada Kabinet.

“Perkara ini tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Banyak aspek yang perlu kita lihat dan ada beberapa isu kritikal yang saling berkait juga perlu diteliti. Apa yang penting kita mahu anak-anak kita selamat dan tidak dijangkiti oleh orang yang tidak divaksin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin akan dikemukakan kepada kementerian pada akhir April lepas.

Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sebelum ini juga dilapor mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin.