Polis tahan pengganas mahu balas dendam kematian Adib

Abdul Hamid Bador berkata kumpulan pengganas itu merancang melakukan serangan pada minggu pertama Ramadan.

PETALING JAYA: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman berjaya menggagalkan usaha sekumpulan pengganas yang mahu membalas dendam terhadap kematian anggota bomba yang terkorban dalam rusuhan kuil Seafield, selain merancang melakukan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata 4 lelaki itu yang terdiri daripada 1 rakyat tempatan, 2 Rohingya dan 1 Indonesia, ditahan dalam serbuan yang dilakukan di Terengganu dan Lembah Klang antara 5 hingga 7 Mei.

Hamid berkata operasi tersebut dijalankan selepas bahagian itu berjaya mengesan kumpulan itu yang dikaitkan dengan IS yang merancang untuk membunuh beberapa personaliti serta melancarkan serangan.

“Keempat-empat suspek yang ditangkap mengaku menganggotai sel pengganas IS serta bersedia untuk melancarkan serangan di Malaysia pada minggu pertama Ramadan bagi membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, yang terkorban selepas cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 26 November yang lalu.

“Selain daripada itu, sel ini juga merancang untuk melakukan operasi pembunuhan terhadap personaliti-personaliti yang berprofil tinggi yang mereka tuduh tidak memperjuangkan dan sebaliknya menghina Islam,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata sepucuk pistol 9mm buatan Czech dan 15 butir peluru, serta 6 buah alat letupan reka ganti (IED) masing-masing berukuran 18cm.

“Senjata api dan 6 batang IED tersebut diperolehi dari sebuah negara jiran,” katanya.

Hamid berkata rakyat tempatan yang ditahan itu berusia 34 tahun dan ditangkap di Kuala Berang, Terengganu pada 5 Mei lepas, dan merupakan dalang sebalik rancangan serangan itu dan ketua sel itu.

Beliau berkata orang kedua yang ditahan adalah berketurunan Rohingya berusia 20 tahun dan ditangkap di Kuala Lumpur. Suspek seorang pemegang kad UNCHR. Dia juga merancang satu serangan terhadap Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan berjihad di Rakhine.

Orang ketiga yang ditahan adalah seorang warga Indonesia berusia 49 tahun dan ditangkap di Subang Jaya, Selangor. Dia juga merancang untuk berjihad di Syria.

Orang keempat yang ditahan adalah seorang berketurunan Rohingya berusia 25 tahun dan ditangkap di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Hamid berkata polis sedang mengesan 3 lagi anggota sel iaitu Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan, kedua-duanya berusia 27 tahun, dari Bedong, Kedah, dan Fatir Tir, seorang warga Indonesia dengan alamat terakhir di Banting, Selangor.

Hamid enggan mendedahkan personaliti-personaliti yang menjadi sasaran.

“Mereka berkomunikasi menerusi kumpulan WhatsApp. Sel itu aktif sejak Januari,” katanya.

Ditanya sama ada 4 suspek itu pernah mendapat latihan ketenteraan, Hamid berkata dalangnya mendapatkan senjata api dan IED dari negara jiran, “tetapi untuk pelaksanaan, sesudah memiliki senjata-senjata sebegini, proses pelaksanaannya cukup mudah”.

Beliau berkata senjata api dan peluru itu bertujuan menembak dan membunuh personaliti-personaliti itu, manakala bom itu untuk gereja, kuil dan tokong.

“Hanya perlu dibawa ke sana dan seterusnya mereka boleh gunakan. Untuk meledakkan bom tersebut, tidaklah memerlukan apa-apa yang canggih.

“IED ini berkuasa tinggi, boleh membunuh dan menyebabkan cedera parah,” katanya.

Mengenai bagaimana senjata-senjata itu dibawa ke negara ini, Hamid berkata ia melalui jalan laut atau darat.

Beliau berkata perbatasan Malaysia yang panjang dan luas memudahkan ia dibolosi.

“Sebagaimana mudahnya warga asing masuk dengan menaiki bot, sampan dan kapal apa semua, begitu mudah untuk menyeludup senjata api yang jauh lebih kecil, menyorokkannya dalam kereta, lori atau sampan,” katanya.