Rafizi menang rayuan terhadap saman fitnah pengerusi NFCorp

Naib presiden PKR Rafizi Ramli.

PUTRAJAYA: Naib presiden PKR Rafizi Ramli hari ini berjaya dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 3 tahun lepas yang memerintahkan beliau membayar RM200,000 sebagai ganti rugi kepada pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Mohamad Salleh Ismail dan syarikatnya kerana memfitnah mereka.

Panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hamid Sultan Abu Backer berkata, terdapat merit dalam rayuan Rafizi.

“Rayuan mempunyai merit dan kami membenarkannya dengan kos, kata Hamid yang bersidang bersama-sama Hanipah Farikullah dan Kamarudin Md Said.

Terdahulu panel tidak membenarkan kes itu didengar lebih lewat hari ini bagi membolehkan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili NFCorp dan Salleh turut hadir.

“Perkara ini telah ditangguhkan tidak kurang 5 kali dan ganti rugi kepada responden pertama (Salleh) hanya RM150,000, kata Hamid.

Peguam Sarah Abishegam kemudiannya menjalankan kes itu bagi pihak Salleh dan NFCorp.

Salleh maupun Rafizi tidak hadir di mahkamah.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Rafizi berkata, kliennya hanya bergantung pada pembelaan komen wajar.

“Perayu merupakan seorang yang jujur dan berfikiran waras ketika beliau membuat kenyataan yang didakwa memfitnah itu,” katanya, dengan menambah bahawa Mahkamah Tinggi juga memutuskan tindak-tanduk Rafizi tidak berniat jahat.

Katanya hakim perbicaraan Azizul Azmi Adnan juga berkata Rafizi bertindak untuk kepentingan awam.

Pada 13 Oktober 2016, Azizul memerintahkan Rafizi, yang pada masa itu merupakan ahli Parlimen Pandan, menayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada syarikat beliau.

Mahkamah juga memerintahkan Rafizi membayar kos RM100,000.

Panel hari ini memerintahkan Salleh dan NFCorp membayar balik ganti rugi dan kos itu dalam tempoh 30 hari. Sekiranya gagal, bayaran faedah 5% setahun akan dikenakan sehingga bayaran dibuat.

Hamid juga membenarkan kos di Mahkamah Tinggi sebanyak RM100,000 dan tambahan RM10,000 di Mahkamah Rayuan.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jun 2013, Salleh dan NFCorp mndakwa Rafizi membuat kenyataan fitnah pada satu sidang media di ibu pejabat PKR setahun sebelum itu mengenai pembelian hartanah Eco City di Kuala Lumpur.