Sukar bawa ekonomi tanpa tunai ke kawasan luar bandar, kata ahli ekonomi

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, melancarkan bazar Ramadan tanpa tunai di Jalan Raja Alang Kampung Baru, Sabtu lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menolak idea seorang menteri yang mahu membawa kampung dan kawasan luar bandar ke dalam masyarakat tanpa tunai, dengan berkata, akses dan ketersambungan yang lemah tidak memungkinkan rancangan itu terlaksana menjelang akhir tahun.

Madeline Berma, yang mengkhusus dalam bidang pembangunan luar bandar berkata, wujud kekurangan infrastruktur dan “info-struktur” di kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, kerajaan boleh memulakan transaksi tanpa tunai di kawasan yang mempunyai ketersambungan penuh internet.

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun berkata, kaedah belian tanpa tunai akan diperluaskan ke kawasan luar bandar di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Katanya, rancangan itu adalah sebahagian daripada program Smart Village yang akan dilancarkan Julai depan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan di kawasan luar bandar memasarkan produk mereka secara atas talian.

Berma berkata, kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar memerlukan lebih banyak pengetahuan, kemahiran dan maklumat untuk menikmati manfaat daripada peralihan kepada sebuah ekonomi tanpa tunai, dan terdapat juga risiko mereka akan terpinggir.

“Dalam ekonomi tunai, mereka menggunakan wang fizikal yang biasa digunakan. Dalam masyarakat tanpa tunai, transaksi kebanyakannya berlaku secara atas talian, yang merupakan sesuatu yang asing kepada kelompok kurang berpelajaran.

Katanya, peralihan itu juga boleh membawa kepada aktiviti yang tidak bertanggungjawab seperti penipuan.