Walaupun difatwa sesat, SIS sensitif isu wanita Islam

Pelbagai laporan, forum dan temuramah yang dihidangkan kepada rakyat memberi penilaian terhadap prestasi Pakatan Harapan dan rata-ratanya rakyat, NGO dan sebagainya adalah kritikal terhadap pretasi PH.

Rakyat dan NGO berat mulut untuk memberi pujian yang berlebih-lebihan walaupun terdapat perubahan yang signifikan di sesetengah ruang.

Walaupun dibanjiri kritikan, namun PH tidak merespon secara negatif terhadap penilaian ini dan tidak bersikap mempertahankan diri.

Malah, PH terus mengorak langkah positif ke arah pembaharuan institusi dengan pengumuman penubuhan IPCMC yang diusulkan 15 tahun yang lepas.

Dalam kehangatan penilaian PH semalam, ada juga kekecohan di media sosial tentang penyiaran program Analisis oleh TV Al-Hijrah berkaitan tajuk “Islam Dibuli PH”.

Banyak yang diperkatakan dan didebatkan tentang penyiaran ini dan lanjutan daripada program tersebut, sebuah artikel oleh ISMA tulisan Ahmad Sanusi Azmi dari Oxford Centre for Islamic Studies yang memberi contoh insiden yang berlaku menunjukkan Islam dan penganutnya kelihatan ditekan.

Salah satunya ialah:

“Tindakan YB Hannah Yeoh yang memberikan sumbangan kepada Sisters in Islam dilihat menjadi isu sensitiviti di kalangan muslim. Ini kerana, Sisters in Islam diwartakan sesat dan menyeleweng oleh Majlis Agama Islam Selangor. Tindakan Hannah itu dilihat seakan memberikan sokong terhadap kumpulan yang diisytiharkan sebagai mengamalkan pemikiran liberal yang bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Mais.”

Ini diikuti poster yang diedarkan Gerakan Pengundi Sedar yang mengangkat mesej yang sama oleh Ahmad Sanusi dengan kenyataan iaitu:

“Pertubuhan yang difatwakan sesat dan menyeleweng, SIS mendapat peruntukan RM20,000 dengan alasan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin membantu ‘wanita Islam’. SIS terkenal sebagai sebuah pertubuhan feminis liberal tegar yang sering mengelirukan masyarakat.

Dari kenyataan ini, nampaknya orang Islam harus dijaga sensitiviti mereka dari apa-apa yang dilakukan kerajaan PH yang ingin menyokong kerja baik SIS untuk wanita Islam atas dasar SIS difatwakan sebagai sesat, adalah liberal, feminis dan sentiasa mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya SIS pun sensitif juga.

Kami sensitif kepada:

1. Penderitaan isteri yang mengalami keretakan rumahtangga dan sukar untuk mendapatkan keadilan bagi diri mereka dari segi perceraian sehingga ramai yang gantung tak bertali bertahun-tahun.

2. Penderitaan anak-anak mereka dari segi nafkah anak apabila ayah mereka langsung tidak memberi atau tidak cukup pemberian nafkah yang diarahkan mahkamah.

3. Perasaan dan pengalaman isteri yang tidak mendapat layanan yang adil dari segi perkahwinan poligami.

4. Perit kesakitan yang dirasai isteri yang ditimpa keganasan rumahtangga bukan sahaja dari segi fizikal, mental, kewangan, sosial dan emosi tapi juga dari segi kekerasan seksual dalam rumahtangga.

5. Kehilangan suara anak-anak yang tidak berdaya untuk menolak perkahwinan yang kononnya akan menyelamatkan hidup mereka walaupun mereka diperkosa bakal suami.

6. Tenggelamnya suara wanita yang tidak dapat membuat keputusan untuk kebaikan diri mereka kerana mereka tidak dianggap sebagai penting dan saksama sebagai ahli keluarga dan harus akur kepada keputusan orang lain.

Natijahnya adalah ramai orang lebih senang memegang persepsi SIS ini sesat, feminis, liberal, menyeleweng dan mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya SIS adalah pejuang hak wanita Islam. Itu adalah fakta. Semua persepsi dalam dunia ini tidak akan mengubah kebenaran itu.

Rozana Isa ialah pengarah eksekutif Sisters in Islam (SIS).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.