Houthi umum sasar binaan Saudi selepas serangan kapal minyak

(Gambar AFP)

DUBAI: Sebuah stesen televisyen yang dikendalikan militan Houthi di Yemen hari ini berkata mereka melancarkan serangan dron terhadap binaan-binaan Saudi, tanpa menyatakan sasaran atau masa serangan itu.

Arab Saudi belum mengesahkan laporan tersebut, sehari selepas Riyadh berkata 2 kapal tangki minyaknya antara 4 kapal yang diserang di luar persisiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.

Masirah TV memetik seorang pegawai tentera Houthi berkata “7 dron melakukan serangan terhadap binaan-binaan Saudi yang penting.”

Belum dapat dipastikan adakah Houthi, yang sedang bertempur dengan gabungan tentara pimpinan Saudi di Yemen, mengaku bertanggungjawab atas serangan Ahad itu.

Pihak berkuasa UAE tidak menggambarkan sifat serangan itu atau dalangnya.

Houthi berulangkali melancarkan dron dan peluru berpandu terhadap Arab Saudi dan mendakwa melancarkan serangan dron terhadap UAE.

Di Twitter, Al Masirah memetik pegawai Houthi sebagai berkata, “operasi ketenteraan yang besar ini respon terhadap serangan dan kepungan ke atas rakyat kami dan kami bersedia melancarkan lebih banyak lagi serangan yang unik dan keras.”

Arab Saudi dan UAE memimpin perikatan disokong Barat itu, yang campurtangan di Yemen pada 2015 untuk menentang Houthi, bagi mengembalikan kerajaan diiktiraf masyarakat antarabangsa yang disingkirkan pada penghujung 2014.

Konflik itu dilihat sebagai perang proksi antara Saudi dan Iran. Houthi nafi menjadi boneka Iran dan berkata revolusinya menentang rasuah.