Isytihar harta akan jadi sebahagian KPI menteri, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika melancarkan myPortfolio, satu inisiatif bagi mempertingkat kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri hari ini mengumumkan 5 cadangan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR,) termasuk cadangan mewajibkan menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah mewajibkan pengisytiharan harta itu merupakan salah satu perkara yang akan dinilai dalam indeks pencapaian menteri dan timbalan menteri.

“Inisiatif ini akan turut melibatkan ahli Parlimen, termasuk pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan myPortfolio, satu inisiatif dalam mempertingkat kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, langkah melibatkan pembangkang supaya turut mengisytiharkan harta adalah sebagai “bayaran” bagi keterbukaan kerajaan mendengar kritikan mereka.

“Pembangkang mempunyai sedikit kuasa, umpamanya mereka mempunyai kuasa untuk mengkritik kerajaan, ia bayaran untuk itu. Mereka juga perlu isytiharkan aset,” katanya.

Bahkan, beliau tidak menolak kemungkinan inisiatif pengisytiharan harta akan turut melibatkan ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata perkara berkenaan perlu dibawa kepada perhatian Speaker Dewan Rakyat bagi meminda perlembagaan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Selain cadangan mewajibkan pengisytiharan harta, kerajaan bersetuju membawa cadangan lain seperti melaksanakan pelan anti rasuah peringkat organisasi, mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan anti rasuah di peringkat kementerian.

Bukan itu sahaja, cadangan tersebut turut menyebut tentang peningkatan ketelusan perolehan awam dan pengurusan risiko rasuah serta pelaksanaan penerimaan hadiah.

Mengulas mengenai cadangan mewujudkan dan melaksanakan dasar mengenai penerimaan hadiah, Dr Mahathir berkata, perdana menteri, menteri dan timbalan menteri hanya dibenarkan menerima hadiah tidak melebihi RM500, bunga dan makanan.

“Tidak lagi lagi dapat banyak hadiah, dahulu semasa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya terima 26 buah kereta, tetapi saya pulangkan dan ada antaranya saya letakkan di muzium.

“Kita boleh terima makanan dan bunga. Sekarang ini makanan dan bunga banyak di rumah saya. Ada yang hantar 1 tan dodol, buah-buahan hingga saya terpaksa berikan kepada pihak lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, antara keputusan yang dicapai kerajaan dalam mesyuarat JKKMAR adalah untuk mereformasi sistem pilihan raya dan melaksanakan cadangan jawatankuasa reformasi institusi berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Mahathir turut melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketetapan SPR yang sebelum ini yang mengeluarkan perintah melarang penjawat awam berkempen pada waktu bekerja.

“Kita dapati ada arahan, pegawai dan menteri tidak boleh berkempen pada masa kerja. Sedangkan ada juga menteri yang bekerja sampai 10 malam.

“Ini sekatan yang tidak harus diamalkan. Saya sendiri sebagai perdana menteri semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands terpaksa sewa helikopter swasta dan bawa kereta milik saya sendiri.

“Ini sekatan luar biasa kerana biasanya perdana menteri bekerja di luar masa. Saya minta supaya diberikan kerja lebih masa, tetapi mereka tidak beri, jadi rugilah jadi perdana menteri,” katanya.

Putrajaya dikritik berikutan keputusan menghantar pulang seorang wanita dikehendaki pihak berkuasa Thailand kerana berkempen menolak pemerintaha beraja.

“Itu masalah mereka, bukan masalah kita. Ia bukan warga negara kita, kalau ada permintaan daripada mereka, kita terpaksa hantar pulang,” katanya.

Presiden CUEPACS Azih Muda mendakwa dakwa staf lantikan politik mengganggu tugas penjawat awam?

“Tidak ada yang mengganggu, kadang-kadang ada percanggahan pendapat, jadi dia tegur. Itu bukan mengganggu, cuma perselisihan pendapat,” katanya.

Laporan perjanjian tukar tanah (land swap) turut berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama?

“Polis akan siasat perdana menteri juga, tidak ada sesiapa yang berada pada kedudukan lebih tinggi daripada undang-undang negara.

“Selain mereka yang masih memegang jawatan, tindakan juga akan diambil terhadap individu yang pernah memegang jawatan dan didakwa terlibat,” katanya.

Laporan mendakwa pelabur asing hilang sabar dan tidak yakin untuk melabur di Malaysia selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara?

“Negara ini merupakan tempat pelaburan yang sesuai, tetapi pakar menyatakan di media bahawa Malaysia berada dalam keadaan buruk, seolah-olah seperti akan berperang atau apa-apa.

“Tetapi sebenarnya, prestasi kita amat baik, pelaburan sudah mula masuk, tetapi janganlah siarkan berita palsu, walaupun kita tidak tidak ada undang-undang itu di sini” katanya.