Kenyataan Takiyuddin mengenai Anwar tidak bertanggungjawab, kata Azmin

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mempersoalkan sama ada Anwar Ibrahim sesuai menjadi perdana menteri kerana berstatus banduan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata kenyataan itu juga tidak adil kerana presiden PKR itu menerima pengampunan diraja.

“Umum sedia maklum pertuduhan terhadap Anwar sejak 1998 itu merupakan pertuduhan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan penuh oleh Agong.

“Kita mungkin mempunyai pandangan politik berbeza tetapi kita harus berpegang kepada fakta dan kenyataan bahawa kemelut ini diselesaikan dengan baik demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) hari ini.

Ketika berucap pada kempen PRK Sandakan Rabu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Azmin mengingatkan PAS untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu tanpa mengaitkannya dengan pihak lain, termasuk isu kartel dedak yang didedahkan baru-baru ini.

“Saya bukan ahli PAS. Saya tidak terlibat dengan apa yang berlaku dalam PAS. Saya kira itu masalah dalaman mereka dan mereka perlu selesaikan.

“Saya lihat kenyataan Abdul Hadi Awang (presiden PAS) menyatakan beliau tidak memberi restu, jadi kalau ayah tak memberi restu kepada anak, saya tak fahamlah. Kena selesaikan cara mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Zaharudin, yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, mendedahkan wujudnya “kartel dedak”, dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam parti itu yang didakwa menerima dana daripada Umno.