Keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Jasin 12 Jun ini

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya menetapkan keputusan untuk petisyen pilihan raya Parlimen Jasin dijadualkan pada 12 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Muniandy Vestanathan, yang mewakili calon Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Ke-14 bagi kerusi itu, Khairuddin Abu Hassan, berkata perbicaraan bagi petisyen itu tamat semalam.

“Seramai 44 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Sekarang hanya tunggu untuk penyerahan dan keputusan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 6 Mac lepas Mahkamah Pilihan Raya menolak bantahan awal Ahli Parlimen Jasin Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin, sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac lepas.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jasin, Zamrud Yahya sebagai responden kedua, dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga.