Mahkamah tolak permohonan Shafee dapatkan sementara pasport antarbangsa

Muhammad Shafee mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya semalam dan hari ini peguamnya Harvinderjit mengemukakan surat itu sebagai afidavit tambahan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi 4 pertuduhan, termasuk 2 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengendalikan kes jenayah di Australia.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pendakwaan dan pembelaan bagi permohonan Muhammad Shafee, yang turut menghadapi 2 pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), didengar dihadapannya.

Beliau berkata surat bertarikh 13 Mei, 2019, meminta Muhammad Shafee ke negara itu hanya untuk membantu kes.

“Kehadiran pemohon (Muhammad Shafee) di tempat tahanan itu bertujuan untuk menterjemah ke dalam bahasa Melayu … beliau boleh menghantar wakil dari firmanya.

“Oleh itu, jelas sekali bahawa kehadiran pemohon hanya untuk membantu kerana telah ada peguam Australia,” katanya sambil menambah bahawa tidak ada alasan yang kukuh bagi Muhammad Shafee untuk berada di mahkamah di sana.

Sequerah berkata, rasional arahan kepada pemohon supaya menyerahkan pasport ialah kerana seriusnya pertuduhan yang dihadapinya.

“Kemungkinan melarikan diri perlu diambil kira. Oleh itu permohonan untuk pelepasan sementara pasport ditolak,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, yang mengetuai pasukan pendakwaan, membantah permohonan itu atas alasan tiada sebab bagi Muhammad Shafee berada di mahkamah berkenaan memandangkan kes itu boleh dikendalikan wakilnya.

“Tertuduh perlu diperlakukan sama seperti tertuduh yang lain. Beliau tidak sepatutnya diberikan layanan istimewa hanya kerana menjadi anggota Majlis Peguam Malaysia,” hujah beliau.

Peguam Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh semasa berhujah balas berkata anak guamnya mewakili seorang rakyat Malaysia yang menghadapi tuduhan berkaitan dadah di mahkamah Australia.

Muhammad Shafee mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya semalam dan hari ini Harvinderjit mengemukakan surat itu sebagai afidavit tambahan.

Pada 13 Sept tahun lepas, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 2 pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram, iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui 2 keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib Razak yang dimasukkan ke dalam 2 akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau juga minta dibicarakan atas 2 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram, iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.