Malaysia hantar pulang wanita Thai anti-raja berstatus pelarian

Praphan Pipithnmporn mungkin berdepan pendakwaan di bawah undang-undang anti raja Thai yang keras.

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia sekali lagi berdepan kritikan aktivis hak asasi manusia berikutan keputusannya menghantar pulang seorang wanita yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand berkait pandang anti monarki beliau.

Ini merupakan perkembangan terbaru dalam satu siri langkah kontroversi Putrajaya menghantar pulang individu warga asing yang dikehendaki kerajaan masing-masing.

Human Rights Watch (HRW) berkata, Praphan Pipithamporn adalah pencari suaka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetapi ditahan oleh polis Malaysia pada April atas permintaan Thailand dan dihantar pulang minggu lepas.

HRW berkata, Praphan kini berdepan perbicaraan tidak adil di Thailand, yang mengamalkan undang-undang anti-raja paling keras di dunia.

“Pihak berkuasa Malaysia mempunyai tanggungjawab melindungi pencari suaka seperti Praphan daripada dibawa pulang secara paksa dan berdepan risiko didakwa berhubung pandang politik mereka yang disuarakan secara aman,” kata pengarah HRW bagi Asia, Brad Adams.

Satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Praphan awal tahun ini yang menyebakan beliau melarikan diri ke Malaysia lalu memohon status pelarian daripada UNHCR di Kuala Lumpur.

Pihak berkuasa Thailand mendakwa beliau menghasut dan melakukan jenayah terancang berhubung penglibatannya dalam Organization for Thai Federation, sebuah gerakan kecil yang aktif berkempen di media sosial supaya diwujudkan sebuah republik di negara itu.

HRW berkata, Malaysia bertanggungjawab memastikan tiada sesiapa pun dihantar “ke tempat di mana mereka berdepan risiko didakwa, disiksa atau pelanggaran hak asasi manusia lain yang serius”.

“Negara berjiran tidak seharusnya menyumbang kepada keadaan hak asasi manusia di Thailand yang semakin buruk dengan menghantar pulang pencari suaka untuk berdepan bahaya”.

Penghantaran pulang Praphan berlaku hanya sebulan selepas Malaysia menghantar pulang 4 pengkritik junta tentera Mesir pada April lepas – langkah yang turut dikritik oleh bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim.

HRW berkata, 4 individu terbabit – Mohamad Fathy Eid, Abdallah Mahmoud Hisham, Abdelrahman Abdelaziz Ahmed dan Azmy al-Sayed Mohamed – kini dilaporkan hilang dan dikhuatiri ditahan dan disiksa.