Pendirian mengenai lapangan terbang Kulim tak berubah, kata Guan Eng

GEORGE TOWN: Lim Guan Eng menyangkal dakwaan pendiriannya terhadap lapangan terbang Kulim sudah berubah selepas tidak lagi menteri ketua menteri, mengatakan dia sentiasa berpendirian Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mesti diluluskan sebelum kemudahan di Kedah itu berjalan.

Pengkritik berkata Lim membantah projek lapangan terbang Kulim semasa menjadi ketua menteri Pulau Pinang tetapi menyokongnya apabila dilantik menjadi menteri kewangan.

Lim bagaimanapun memberitahu FMT bahawa pendiriannya tidak berubah dan dia meluluskan naik taraf PIA dan membenarkan projek lapangan terbang Kulim.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang bawah pentadbirannya meminta PIA dinaik taraf terlebih dahulu, tetapi tidak mahu mengganggu rancangan pembangunan negeri-negeri lain.

“Pulau Pinang harus lebih mempercayai kebolehan kita untuk bersaing. Kita tak boleh cuba menahan projek-projek negeri lain hanya kerana kita tak boleh bersaing.

“Dari perspektif negara, selaku menteri kewangan, saya mesti seimbangkan pembangunan untuk semua negeri, bukan sahaja Pulau Pinang, atau negeri-negeri lain akan marah,” katanya.

Putrajaya baru-baru ini membenarkan projek lapangan terbang Kulim bernilai RM1.6 bilion itu.

Lim berkata lapangan terbang itu akan menjadi pemangkim pertumbuhan di Kedah, dan kerajaan persekutuan tiada sebab untuk membantahnya kerana ia akan dibiayai swasta dan dijangka memberi manfaat kepada wilayah utara.

Beliau berkata Putrajaya meluluskan rancangan naik taraf PIA daripada kapasiti 6.5 juta setahun kepada 16 juta setahun yang menelan kos RM1.2 bilion.

Beliau mendakwa kerajaan Barisan Nasional tiada rancangan untuk menaiktaraf lapangan terbang itu walaupun berjanji berbuat demikian, menegaskan pentadbiran sekarang yang meluluskan rancangan naik taraf itu.

Beliau juga meredakan kebimbangan lapangan terbang Kulim akan memberi kesan buruk pada Pulau Pinang, mengatakan PIA akan kekal menjadi pusat aktiviti ekonomi di wilayah utara.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan hab perniagaan yang matang dan mantap selama beberapa dekad.

“Kita tidak menentang pembangunan di Kedah, dan kerajaan persekutuan rasa tidak patut menahan mana-mana negeri. Saya tak boleh halang pembangunan negeri.

“Lagipun, apa salahnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad cuba membangunkan negeri asalnya?”

Merujuk kepada pertumbuhan penumpang dan jumlah kargo PIA, beliau percaya lapangan terbang itu akan menjadi lebih cemerlang.

“Ditambah lagi dengan cadangan rancangan-rancangan di Pulau Pinang dan wilayah utara, pasti ia akan menuju kejayaan. Lapangan terbang Kulim akan melengkapi PIA,” katanya.

Lim berkata mereka yang cuba melakar gambaran negatif tentang keadaan sekarang cuba “mencari gaduh” dengan kerajaan persekutuan.