Persatuan pengguna gesa RapidKL jual kad Touch ‘N Go dalam bas

Pada April, RapidKL memaklumkan ia akan melaksanakan kaedah pembayaran elektronik di semua laluannya bermula pertengahan bulan ini.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pengguna menggesa syarikat bas awam, RapidKL supaya lebih memudahkan penumpang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai berikutan aduan terdapatnya sebilangan penumpang di Gombak gagal menaiki bas kerana tidak memiliki kad prabayar Touch ‘N Go untuk membayar tambang.

Timbalan presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, RapidKL seharusnya menjual kad tersebut di dalam bas mereka.

“Warga emas dan penumpang baru mungkin tidak tahu mengenai perubahan yang dilakukan. Tidak patut sekiranya mereka tidak boleh menggunakan pengangkutan awam hanya kerana tidak mempunyai kad berkenaan.

“Syarikat bas harus memudahkan peralihan kepada kaedah pembayaran tanpa tunai dan juga orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Kenapa mereka tidak boleh jual kad dengan isian kos minimum di dalam bas?”, soal beliau.

Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Asal Gombak berkata, bas RapidKL di kawasan Gombak hanya menerima kad Touch ‘N Go bermula 13 Mei.

“Info yang diterima, ramai tak dapat naik bas pagi ini sebab takda kad TNG,” katanya.

Menurutnya lagi, bas RapidKL yang terlibat adalah 200, 201, 202, T201, T202 dan T203.

Tinjauan FMT dengan RapidKL mendapati kad Touch ‘N Go boleh diperolehi di stesyen tertentu.

Pada April, RapidKL, yang membawa lebih 400,000 penumpang setiap hari, memaklumkan ia akan melaksanakan kaedah pembayaran elektronik di semua laluannya bermula pertengahan bulan ini.

Langkah itu akan dijalankan secara berperingkat dan bermula dengan koridor Ampang pada 15 April.