Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Penganalisis meramalkan angka KDNK suku pertama (Q1) yang bakal diumumkan Khamis akan menunjukkan penurunan dengan kadar pengangguran mencapai tahap tertinggi sejak Januari 2017.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini berikutan pelabur tidak memasuki pasaran sementara menunggu dasar lebih kukuh oleh kerajaan dalam menghadapi kelembapan ekonomi global.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan dibuka pada 4.1670/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1620/1670 semasa ditutup pada Isnin.

Seorang peniaga berkata, penganalisis meramalkan angka pada suku pertama (Q1) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bakal diumumkan Khamis ini akan menunjukkan penurunan, dengan kadar pengangguran mencapai tahap tertinggi sejak Januari 2017.

Maybank IB Research dalam nota hari ini berkata, kadar pengangguran pada Mac 2019 meningkat sedikit kepada 3.4% selepas kekal pada 3.3% selama 6 bulan berturut-turut sehingga Februari 2019, walaupun pertumbuhan pekerjaan sepadan dengan pertumbuhan tenaga kerja.

“Pekerjaan dan dan tenaga kerja berkembang +2.1% tahun ke tahun (y-o-y) pada Mac 2019 masing-masing kepada 15.0 juta dan 15.6 juta, mengekalkan kadar pada Februari 2019.

“Manakala itu jumlah penganggur meningkat +2.5% y-o-y kepada 521,300 pada Mac 2019 berbanding +1.6% y-o-y pada Februari, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran (Mac 2019: 3.4%; Feb 2019: 3.3% y-o-y).

Peniaga juga berkata, langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan kesan negatif daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memuncak itu dapat dibendung.

“Apabila ketegangan meningkat, perniagaan dan perdagangan akan terjejas teruk. Bagaimanapun senario itu juga akan menjadikan syarikat AS dan China mengkaji semula operasinya dan Malaysia mempunyai keupayaan untuk menarik perniagaan berkenaan,” katanya.

Semalam Beijing mengumumkan pihaknya akan mengenakan tarif ke atas barangan AS bernilai AS$60 bilion mulai 1 Jun, sebagai tindak balas terhadap langkah Washington yang lebih awal menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0440/0467 daripada 3.0435/0483 semalam dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8083/8120 daripada 3.7943/7996.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4021/4081 daripada 5.4189/4263 dan susut berbanding euro kepada 4.6812/6862 daripada 4.6768/6837 semalam.