Tegah diri dari ‘membawang’ di bulan Ramadan

Bulan Ramadan bulan paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam sedunia kerana keberkatan dan kerahmatan yang dibawa bersamanya.

Ini waktu paling sesuai untuk lebih kuat beribadat, bukannya lebih giat mengumpat.

Sebaiknya, tegah diri anda dari “membawang” di bulan Ramadan yang mulia ini.

Awas, Jangan “Membawang” Di Bulan Ramadan!

Perhatikan sahaja sekeliling anda, tidak kira di pejabat, sekolah, pusat beli-belah bahkan di bazar Ramadan sekalipun, aktiviti “membawang” berlangsung di mana-mana.

Kini, ia lebih meluas ekoran kehadiran dan kemudahan media sosial.

Buka sahaja aplikasi tersebut, sudah pasti anda akan terbaca gosip sohor terkini artis, kisah dalam kelambu selebriti atau kemelut penipuan ahli politik yang kadangkala tidak dicari oleh kita sekalipun.

Rasanya tidak sah dalam sehari jika kita tidak terdengar pertanyaan berbunyi “eh, awak nak tahu tak…?’’ atau pernyataan yang lengkap dengan kata nama dan kata kerja umpatan seperti “si polan itu…”, “si milah ini…’’.

Apa-apa sahaja perbualan yang melibatkan keburukan individu yang tidak berada di situ, itu sudah boleh dianggap sebagai “membawang”.

Tanpa mengira penutur atau pendengar gosip tersebut, kedua-duanya perbuatan sia-sia.

Ini sama sekali perbuatan yang negatif kerana ia salah dan keji jika dilihat dari aspek agama malahan, akan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan kita.

Keburukan “membawang” dari aspek agama

Tentu sekali, ia perlakuan yang berdosa malahan boleh membatalkan pahala puasa anda.

Sia-sia sahaja menahan lapar, dahaga dan penat sepanjang hari, bukan?

Ya, mungkin disebabkan masa senggang terlalu banyak kerana tidak perlu makan dan minum dan kebosanan kerana tidak banyak aktiviti boleh dilakukan membuatkan anda lebih banyak berbual kosong bersama teman anda.

Berbual kosong tidak salah asalkan anda tidak “membawang”.

Anda perlu tahu bahawa berpuasa bukan sahaja dilakukan untuk merehatkan perut, malahan mata, telinga dan lidah juga perlu diberi cuti.

Jika anda terfikir untuk mengajak atau diajak teman anda untuk “membawang”, segera katakan tidak pada mereka dan beredar dari situ.

Daripada menghabiskan masa mengeringkan tekak dan air liur untuk bercakap perkara sia-sia, apa kata anda melakukan perkara ibadat seperti membaca al-Quran. Sudah tentu mendapat pahala, bukan?

Keburukan “membawang” terhadap kesihatan

Bukan sahaja mendapat dosa, “membawang” juga sebenarnya akan menyebabkan anda mendapat sakit.

Tidak masuk akal jika hendak difikirkan secara logik, bukan?

Namun kebenarannya, “membawang” memang boleh mendatangkan sakit, terutamanya pada aspek mental anda.

Bayangkan, cerita-cerita buruk yang kadang-kadang direka itu mengenai diri anda dan ia telah tersebar pada satu komuniti anda diami.

Sudah tentu anda akan sakit hati, bukan? Kesannya, boleh terjadi serta-merta atau pada jangka masa yang panjang.

Ia pasti akan mencalarkan emosi dan merosakkan mood anda lebih-lebih lagi jika cerita tersebut tidak benar.

Setiap kali cerita tersebut muncul semula atau mempunyai episod bersinambung seakan telenovela, luka dalam hati anda pasti akan berdarah kembali.

Selain itu, “membawang” akan menyebabkan kondisi kesihatan yang lebih berat kepada individu jika mereka tidak mampu untuk menghadapinya.

Antara kondisi yang mungkin dihadapi mereka yang menjadi mangsa ini termasuklah:

  • Keletihan
  • Kegelisahan
  • Depresi
  • Serangan panik
  • Paling bahaya, ia mungkin akan mengakibatkan individu itu hilang keyakinan diri untuk meneruskan kehidupan lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Kesimpulannya

Jadi, anda masih mahu “membawang”? Buat anda yang mungkin masih belum sedar, ketahuilah bahawa aktiviti yang salah dan keji ini sangat dibenci oleh tuhan pencipta kita, Allah S.W.T. dan telah banyak kali ditegah dan dipesan oleh nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W. untuk kita menjauhkan diri daripadanya.

Bukan itu sahaja, “membawang” juga mampu memberi mudarat yang teruk terhadap kesihatan kita.

Sebaiknya, ayuh kita semua sama-sama muhasabah diri dan melebihkan ibadat sempena meraikan kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]