Uptown Danau Kota tetap kena pindah

Kira-kira 60% peniaga dan penjaja tidak mempunyai lesen, dengan perpindahan ke tapak baru mereka akan diberi lesen dan dapat berniaga secara sah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Lebih 800 peniaga dan penjaja di Uptown Danau Kota, di sini tetap perlu berpindah ke lokasi sementara berikutan kesesakan lalu-lintas dan masalah parkir yang dialami penduduk setempat, kata ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew.

“Selain itu, kira-kira 60% daripada peniaga dan penjaja di kawasan itu tidak mempunyai lesen, jadi dengan perpindahan itu mereka akan diberi lesen dan dapat berniaga secara sah.

“Ia juga bagi mengelakkan daripada wujudnya pihak ke-3 dalam mengenakan caj mahal bagi sewa tapak dan kegiatan ‘Ali Baba’ dalam kalangan peniaga mudah dipantau oleh penguatkuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya hari ini.

“Pengusaha stesen minyak serta penduduk di kawasan itu mengeluh kerana kesesakan lalu lintas semakin teruk berikutan terlalu ramai penjaja dan peniaga masuk berniaga di kawasan itu.

“Lagipun ada dalam kalangan penjaja makanan yang menjadikan kawasan berhampiran 2 stesen minyak di situ sebagai ‘dapur’ dan ini menyebabkan pengusaha stesen minyak dan penduduk khuatir akan keselamatan mereka.

Sebelum ini, operasi Uptown Danau Kota diumumkan akan dipindahkan ke tapak kekal di Jalan Genting Klang yang bakal dibangunkan dalam tempoh 2 setengah tahun.

Namun ia mendapat bantahan daripada penganjur Uptown Danau Kota yang mahu kekal berniaga di tapak lama berikutan sukar mencari pelanggan jika mereka berpindah ke kawasan baru.

Penghuni Danau Kota Suites Apartment Adrian Phung, 28, berkata, masalah kesesakan lalu lintas menjadi semakin teruk apabila Bazar Uptown Danau Kota dan bazar Ramadan yang terletak berdekatan beroperasi serentak ketika bulan Ramadan.

“Bazar Ramadan hanya selama sebulan sahaja, tetapi Uptown Danau Kota beroperasi sepanjang tahun 5 hari seminggu, jadi elok sekiranya mereka dipindahkan ke kawasan lebih lapang untuk mengelakkan kesesakan.

“Selain kesesakan, masalah parkir juga timbul kerana apabila Uptown mula beroperasi dari pukul 9 malam, ramai dalam kalangan penduduk sukar mencari parkir kerana kebanyakannya digunakan sebagai tapak perniagaan mereka,” katanya.