Wisma Putra bidas ‘tembakan amaran’ pelakon AS

George Clooney, pelakon Hollywood. (Gambar Reuters)

PUTRAJAYA: Wisma Putra hari ini membidas “tembakan amaran” pelakon Amerika Syarikat, George Clooney kepada Malaysia sekiranya kerajaan memperkenalkan undang-undang anti-gay, seperti yang Brunei cuba laksanakan baru-baru ini.

“Dia patut lebih tahu apa yang dikatakannya,” kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya di tepian satu majlis PPBM malam tadi.

Marzuki berkata Malaysia adalah sebuah negara majoriti orang Islam, dan masyarakat di sini tidak menerima gaya hidup lesbian, gay biseksual dan transgender (LGBT).

Walaupun Malaysia tidak mempunyai undang-undang terhadap gay, hubungan seks luar tabii adalah suatu jenayah termasuk liwat.

Pelakon AS itu baru-baru ini tampil di suatu rancangan bual bicara di mana dia berbincang mengenai seruan memboikot 9 hotel milik Brunei ekoran rancangan mengenakan hukuman rejam hingga mati terhadap pesalah zina dan hubungan sejenis.

Sultan Brunei kemudian mengumumkan hukuman mati itu tidak akan dilaksanakan.