Zahid gagal sekali lagi dapatkan pasport untuk umrah

Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi gagal sekali lagi mendapatkan pasportnya daripada mahkamah untuk mengerjakan umrah.

Panel Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Umi Kalthum Abdul Majid, hari ini membuang rayuannya terhadap keputusan mahkamah bawahan menolak permohonan Zahid supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah dikembalikan.

“Tiada sebab untuk mengganggu keputusan hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Hakim-hakim lain dalam panel itu adalah Harminder Singh Dhaliwal dan Stephen Chung.

Zahid menyerahkan pasportnya kepada Mahkamah Tinggi pada November selepas minta dibicarakan atas 45 tuduhan pengubahan wang, rasuah dan pecah amanah.

Dua lagi tuduhan pecah amanah difailkan terhadapnya pada Disember dan Februari tahun ini.

Perbicaraan Zahid akan berjalan dari 18 November hingga 22. Tarikh perbicaraan seterusnya ditetapkan dari 2 Disember hingga 26 dan 9 Disember hingga 13.

Peguam Hisyam Teh yang mewakili Zahid hari ini berhujah Mahkamah Tinggi tersilap dalam keputusannya.

“Mahkamah bawahan tidak mengambil kira sama ada permohonan itu dibuat dengan suci hati,” katanya dan menambah Zahid turut menyediakan aturcara perjalanannya di Mekah dari 19 Mei hingga 3 Jun.

Zahid memberitahu mahkamah bahawa dia berjanji akan melaksanakan umrah di Mekah setiap tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata Jabatan Peguam Negara membantah permohonan Zahid atas alasan dia berdepan 47 tuduhan.

“Kami tak halang seseorang melaksanakan tanggungjawab agamanya. Kami mahu halang individu yang dituduh dengan jenayah yang serius daripada melarikan diri,” katanya.

Hisyam berkata hujah pendakwaraya mengatakan Zahid berkemungkinan melarikan diri adalah tidak berasas.