Ambil berat keselamatan jalan raya elak kemalangan musim perayaan

Kemeriahan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan dan menanti tibanya Syawal sepatutnya menjadi satu keraian yang menggembirakan seluruh umat Islam di negara ini.

Dalam kemeriahan itu rakyat Malaysia juga seharusnya peka supaya tidak berlaku tragedi yang tidak diingini sewaktu pulang ke kampung halaman.

Ini kerana jumlah kemalangan pada musim perayaan semakin meningkat setiap tahun.

Disini dikongsi beberapa tips keselamatan jalan raya sebagai usaha mengurangkan kadar kematian dan menjadikan jalan raya Malaysia lebih selamat.

1. Penggunaan kenderaan awam menggantikan kenderaan persendirian.

Menggunakan kenderaan awam merupakan satu cara yang berkesan untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Negara seperti Jepun, UK, Finland dan Sweeden kebanyakannya mempunyai jaringan perhubungan keretapi awam yang baik dan menunjukkan bahawa penggunaan pengangkutan awam mampu mengurangkan kemalangan dan kematian.

Jadi, rakyat Malaysia disarankan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan memaksimumkan penggunaan kenderaan awam terutama ketika musim perayaan.

2. Kawalan kelajuan

Salah satu strategi berkesan untuk mengurangkan kemalangan dan kecederaan ialah dengan mengawal kelajuan kenderaan masing-masing.

Pengurangan kelajuan kenderaan dilihat mampu memberikan masa kepada para pemandu untuk mengawal kenderaan dengan lebih baik di samping memberikan ruang untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Kelajuan yang tinggi menyebabkan kecederaan disebabkan amaun tenaga yang dibawa oleh kenderaan ketika bergerak.

Teori toleransi jasad manusia hanya mampu menyerap tenaga daripada pelanggaran sepantas 30 km/j sekiranya berada di luar (pejalan kaki dan penunggang basikal) dan 50 km/j bagi penumpang kenderaan.

Mana-mana pelanggaran yang melebihi kelajuan yang disebutkan diatas dikelaskan sebagai pelanggaran maut.

Memandu dengan pantas sememangnya mampu mengurangkan penggunaan masa di atas jalan, namun sebuah penyelidikan mendapati untuk jarak perjalanan sejauh 50 km dengan hadlaju 90 km/j, kita hanya mampu menjimatkan sebanyak 6 minit perjalanan sekiranya memandu pada 110 km/j melebihi had laju yang dibenarkan.

Kita mungkin boleh menjimatkan lebih masa dengan bertolak lebih awal bagi mengelakkan perjalanan yang tergesa-gesa.

3. Maksimumkan penggunaan alatan keselamatan

Untuk pemandu yang sudah terbiasa, mereka akan memastikan tali pinggang keledar untuk penumpang termasuklah pemandu sudah kemas terpasang.

Kenderaan moden kini sudah dilengkapkan dengan sensor pengesan tali pinggang keledar untuk kesemua penumpang.

Jadi, gunakanlah alatan tersebut dengan baik dan tidak mengambil jalan pintas hanya untuk mendiamkan amaran daripada sistem tersebut, dan mengabaikan keselamatan sendiri.

Untuk penumpang yang lebih kecil seperti bayi, ia merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan kerusi yang sepatutnya untuk keselamatan ketika bergerak di atas jalan.

Sudah terlalu banyak kes kematian bayi yang dicatatkan di akhbar utama Malaysia hanya kerana tiada inisiatif yang diambil untuk meletakkan bayi pada tempat yang sepatutnya ketika memandu.

Untuk penunggang motorsikal pula, helmet perlulah sesuai, selamat dan selesa untuk perjalanan, dan untuk keselamatan tambahan, jaket keselamatan dengan pad siku dan lutut sewajarnya dipakai setiap masa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]