Anwar gesa PAS berterus-terang isu ‘kartel dedak’

Anwar Ibrahim.

BANGI: Anwar Ibrahim menggesa PAS berterus-terang mengenai dakwaan sekurang-kurangnya 5 pemimpin parti itu menerima wang daripada Umno dan sebahagian daripada apa yang digelar “kartel dedak”.

Presiden PKR itu berkata perkara itu kini berkepentingan awam walaupun perintah tegah siar dikenakan ke atas ahli-ahli PAS baru-baru ini.

“Orang ramai sedang memperkatakan perkara itu dan ia melibatkan dana daripada pihak lain seperti yang dinyatakan dakwaan itu,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri acara di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Zaharudin Muhammad, menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, baru-baru ini mendedahkan senarai individu yang dikatakan menerima wang daripada Umno.

Hadi kemudian menafikan dia merestui Zaharudin mendedahkan perkara itu. Zaharudin sudah diminta menjelaskan perkara itu kepada jawatankuasa disiplin PAS.

Sementara itu, Anwar mengalu-alukan langkah terbaru kerajaan meminta semua ahli Parlimen mengisytiharkan aset, sebahagian daripada langkah yang dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional.

Beliau berkata semua aliran tunai yang masuk dan keluar mesti diambil kira.

Bidas pelakon AS

Anwar juga menyertai pemimpin Pakatan Harapan lain dalam mengkritik pelakon Hollywood, George Clooney berhubung komennya mengenai undang-undang Malaysia terhadap kehomoseksualan.

Presiden PKR itu, yang pernah dipenjarakan 2 kali atas tuduhan liwat yang menurutnya adalah rekaan, berkata kebimbangan mengenai hak asasi manusia bukan alasan untuk orang lain menentukan dasar-dasar Malaysia.

“Sudah tentu kita perlu pertimbangkan kebimbangan masyarakat antarabangsa, tetapi anda harus sedar dasar Amerika Syarikat ditentukan oleh rakyatnya, dasar Jerman ditentukan oleh rakyatnya, dasar China ditentukan oleh rakyatnya.

“Jadi mengapa dasar Malaysia ditentukan oleh orang lain?” katanya.

Dalam satu temubual dalam rancangan Ellen, Clooney, yang mendalangi kempen memboikot Brunei berhubung cadangan memperkenalkan hukuman mati terhadap hubungan sejenis, mengkritik Indonesia dan Malaysia kerana undang-undang kedua-dua negara terhadap kehomoseksualan.

Beliau berkata keputusan Brunei untuk tidak melaksanakan undang-undang anti-gay susulan sejagat harus menjadi amaran kepada Indonesia dan Malaysia sebelum mereka mempertimbangkan undang-undang seperti itu.

Anwar berkata walaupun terdapat isu-isu kemanusiaan sekitar komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender, kebebasan Malaysia mesti dihormati.

“Malaysia tidak harus tunduk pada kuasa besar,” katanya.

Esok merupakan tahun pertama Anwar dibebaskan dari penjara, selepas mendapat pengampuran diraja menyusuli perubahan kerajaan pada 9 Mei tahun lepas.

Ditanya apakah perasaannya setahun selepas dibebaskan, Anwar berkata:

“Syukur.”