Australia benar import biji-bijian selepas sedekad

Penghantaran biji-bijian dari Kanada dijangka tiba dalam 8 minggu dan kerajaan menolak dakwaan import boleh menjejaskan biokeselamatan Australia. (Gambar Facebook)

CANBERRA: Australia akan mengimport biji-bijian buat pertama kali dalam tempoh lebih 10 tahun, lapor agensi berita Xinhua, memetik Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Kerajaan Australia meluluskan permit penghantaran tunggal untuk mengimport bijian pukal dari Kanada bagi mengurangkan harga yang semakin meningkat di pasaran tempatan disebabkan kemarau dahsyat di bahagian pantai timur, menurut ABC pada Rabu.

Menurut Biro Pertanian dan Sumber Ekonomi Australia (ABARES), pengeluaran tanaman musim sejuk negara diramal di bawah 20% dalam tempoh purata 20 tahun, mencapai 29.3 juta tan pada 2018-19.

Bagaimanapun, pengeluaran biji-bijian kekal lebih tinggi pada musim kemarau sebelumnya kerana pengeluaran tanaman musim sejuk di Australia Barat dijangka menyumbang 56% pengeluaran negara pada 2018-19, berbanding purata 36% dalam 20 tahun hingga 2017-18.

Penghantaran biji-bijian dari Kanada dijangka tiba dalam masa 8 minggu dan kerajaan menolak dakwaan kononnya import boleh menjejaskan biokeselamatan Australia.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa malam, Jabatan Pertanian dan Sumber Air mengatakan biji-bijian yang diimport adalah “tertakluk kepada syarat ketat bagi menghindari sebarang risiko biokeselamatan.”

Sebelum ini, Australia meluluskan import biji-bijian pada 1994-95, 2002-03 dan 2006-07.