CIA lancar kempen cari orang fasih bahasa Melayu

PETALING JAYA: Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) melancarkan kempen mencari orang-orang yang fasih berbahasa asing, termasuk bahasa Melayu.

Gergasi perisikan itu di Facebook rasminya turut memuatnaik iklan berbahasa Melayu yang dipasang di sebuah stesen transit di Washington D.C.

“Tahukah anda kebolehan berbahasa anda dapat menjadikan Amerika lebih selamat?” kata agensi itu pada 17 April, dengan pautan kepada laman kerjaya CIA.

“Apabila anda bekerja untuk CIA, anda boleh menggunakan kemahiran bahasa asing anda dalam pelbagai cara.”

CIA di lamannya berkata ia memerlukan pakar-pakar bahasa untuk membantunya menghimpunkan maklumat perisikan secara berkesan.

Pakar-pakar bahasa itu akan menggunakan kebolehan bercakap, membaca dan menterjemah bahasa asing, serta pemahaman tentang perbezaan budaya, untuk mengendalikan keperluan-keperluan keselamatan AS dan mungkin “misi-misi baru”.

Malaysia baru-baru ini menjadi perhatian ketika Amerika Syarikat mengetatkan sekatan ke atas Iran.

Sejak Mei tahun lepas, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian yang mengekang program nuklear Iran dan mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas negara itu.

Iran berikrar akan mencabar sekatan tersebut.

Awal bulan ini, akhbar Israel, Jerusalem Post melaporkan bekas ketua agensi perisikan Israel atau Mossad, Danny Yatom menggesa AS mengetuai usaha melawan cubaan Iran mengelakkan sekatan melalui Malaysia.

Bulan lepas, satu lagi akhbar Israel, Haaretz memetik sumber perisikan Barat berkata Iran dan Malaysia menjalin suatu pakatan yang membolehkan Iran mengelakkan sekatan AS, mengambil contoh kapal-kapal tangki minyak yang dilihat berlayar antara kedua-dua negara.

Sumber Haaretz menjangkakan Iran merancang untuk mendapatkan dana daripada jualan minyak dan gas asli menerusi Malaysia, yang akan membantu ekonomi Iran yang tertekan.