Kerajaan PH mahu Malaysia dikenali kerana integriti, anti-rasuah, kata Wan Azizah

Berucap kepada komuniti Malaysia di Switzerland, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, rakyat adalah pejuang sebenar, terutama yang berada di luar negeri, berikutan kemenangan PH dalam pilihan raya umum lepas. (Gambar Bernama)

GENEVA: Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu Malaysia dikenali sebagai sebuah negara berintegriti dan antirasuah di persada antarabangsa.

Beliau berkata, susulan itu kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif setelah memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lalu dengan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional serta melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 pada 28 Jan tahun ini.

“Kami jimatkan sumber. Tetapi, kami juga tidak mahu meninggalkan kebajikan masyarakat. Kami mahu melihat bahawa selepas ini negara kita ditadbir urus dengan baik sekali,” katanya semasa berucap pada majlis iftar bersama rakyat Malaysia di sini, Selasa malam.

Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan kerja 3 hari ke negara ini bermula Selasa bagi mengetuai delegasi Malaysia ke edisi ke-6 Platform Global Bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR).

Timbalan perdana menteri berkata, inisiatif tersebut yang merupakan landasan kepada perubahan yang dijanjikan kerajaan PH tidak dirasai oleh segelintir rakyat yang sukar menukar penetapan minda mereka setelah lebih 60 tahun di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pada majlis yang dihadiri komuniti Malaysia yang berkhidmat dengan badan antarabangsa di sini, Dr Wan Azizah juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang memilih untuk menukar kerajaan pada 9 Mei tahun lalu.

“Tahniah dan syabas pada semua kerana ini adalah satu daripada apa yang kita jayakan bersama. Sebab kalau tidaklah kerana rakyat menukar kerajaan pada 9 Mei tahun lalu, sudah tentu tidak akan berubah nasib kita, dalam negara kita.

“Rakyat adalah mereka yang menjadi pejuang yang sebenar, terutamanya yang di luar negeri,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berbangga kerana berjaya menukar kerajaan dalam keadaan aman dan teratur, tanpa sebarang pertumpahan darah.

Terdahulu Dr Wan Azizah menerima kunjungan hormat Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC), Dr Jemilah Mahmood, yang kemudian turut serta dalam majlis iftar tersebut.