KPN ikrar tindakan terhadap kumpulan sebar risalah Imam Husain

Seorang ahli kumpulan ‘Who is Hussain?’ di Kuala Lumpur mengagihkan sumbangan Ramadan kepada orang ramai. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata polis bekerjasama dengan pihak berkuasa agama untuk mengekang kegiatan mengembangkan fahaman Syiah, selepas satu kumpulan menyebarkan risalah mengenai Imam Husain.

“Kita akan pantau sebarang aktiviti yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ambil tindakan yang wajar,” katanya kepada pemberita di majis meraikan timbalannya, Mazlan Mansor hari ini.

Beliau merujuk kepada kumpulan yang mengedarkan risalah bertajuk “Who is Hussain?” (Siapa Husain?).

Husain Ali, iaitu cucu kepada Nabi Muhammad, adalah watak penting dalam fahaman Syiah.

Birokrat Islam di Malaysia menganggap Syiah sebagai menyimpang, dan pihak berkuasa pernah menyerbu acara-acara keagamaan peribadi yang dijalankan pengikut fahaman itu.

Kumpulan memakai kemeja T hitam tertera “Who is Hussain?” baru-baru ini mengedarkan makanan dan tasbih kepada orang ramai di ibu kota.