Lahir di Malaysia tapi tak faham bahasa Melayu, teksi bidas pemandu Grab

Kamarudin Mohd Hussain. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan teksi membidas persatuan pemandu Grab selepas presidennya mendakwa ramai pemandu e-hailing tidak dapat membaca atau menulis dalam bahasa Melayu, menyebabkan mereka sukar lulus ujian Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Kamu lahir, membesar dan hidup di Malaysia tetapi kamu tidak faham bahasa Malaysia? Tolonglah jangan cerita karut,” kata Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dakwaan penggunaan bahasa Melayu dalam ujian PSV menyebabkan ramai “pemandu kereta sapu” gagal adalah alasan yang sangat tidak cerdik dan amat memalukan.

Kamarudin menjawab kenyataan Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali semalam, yang berkata kurang 10% daripada 200,000 pemandu perkhidmatan e-hailing kini memiliki PSV kerana faktor seperti yuran mahal dan ujian susah.

Menggesa lesen tersebut direformasikan dan tarikh akhir mendapatkan lesen itu dilanjutkan 6 bulan lagi selepas 12 Julai, Arif mendakwa ramai pemandu mendapati sukar lulus ujian PSV.

“Buku tidak dibenarkan dan satu-satunya bahasa yang digunakan dalam Bahasa (Melayu),” katanya kepada pemberita.

Arif menambah mereka diberi soalan yang tidak berkaitan industri e-hailing dan pemandu kurang upaya tidak diberi taklimat mengenai proses permohonan itu.

Kamarudin bagaimanapun menasihatkan presiden pemandu Grab jangan beralasan lagi, kerana kerajaan memberi banyak kelonggaran kepada pemandu e-hailing untuk mendapatkan lesen PSV.

“Dahulu kami terpaksa menjalani proses yang sangat berat dengan kadar bayaran yang lebih tinggi berbanding mereka, malah kami diwajibkan menjalani latihan dan ujian praktikal,” katanya.

Kamarudin berkata bayaran untuk mendapatkan lesen tersebut bagi pemandu e-hailing tidak lebih RM200 dan tidak perlu menjalani latihan dan ujian praktikal.

Beliau juga tidak pernah terdengar kerajaan berjanji akan melaksanakan ujian lesen PSV dengan sistem “open book”.

“Menjawap soalan dengan ‘open book’ tidak dipanggil ujian, tetapi itu dipanggil meniru,” katanya.

Kamarudin berkata gabungannya kini menggesa kerajaan menetapkan beberapa lagi peraturan serupa dengan pemandu teksi, seperti mewajibkan kenderaan e-hailing berusia 3 tahun ke bawah menjalani pemeriksaan awalan dan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Gabungan itu juga meminta kerajaan mewajibkan penggunaan nombor plat warna kuning atau hijau dan etika pakaian.

“Atas dasar kesamarataan dan keselamatan,” katanya.