Najib pertikai PH tak beri bantuan Raya kepada Risda

Najib Razak pertikai kerajaan PH tidak beri bantuan Hari Raya kepada peserta Risda.

PETALING JAYA: Tindakan Putrajaya tidak memberi bantuan kepada peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sempena Hari Raya Aidilfitri dipertikaikan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Najib berkata, beliau percaya bantuan akan diberikan kepada peserta Risda sekiranya musim pilihan raya semakin hampir.

“Kalau ada pilihan raya kecil, sudah tentu akan ada bantuan. Ia seperti kes menteri kewangan mengumumkan bantuan musim tengkujuh untuk Sabah semasa pilihan raya kecil Sandakan.

“Ia walaupun dah sampai akhir April dan musim tengkujuh dah lama berakhir. Lebih dahsyat, Kementerian Kewangan sendiri umumkan bantuan tengkujuh pada April ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Najib menambah, walaupun harga purata getah untuk Mei adalah pada harga RM6.17 untuk 1kg, namun jumlahnya masih rendah berbanding harga RM6.50 1kg untuk Mei 2017.

“Kenapa Pakatan Harapan (PH) tidak mahu tolong? Kerana ekonomi sangat baik di bawah PH, seperti perdana menteri ke-7 kata. Oleh itu, rakyat tidak perlu bantuan lagi.

“Ataupun disebabkan Kementerian Kewangan tidak luluskan bantuan kepada pekebun-pekebun kecil,” katanya.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata kerajaan tidak berhasrat memberi sebarang duit raya atau bantuan sempena menyambut Hari Raya tahun ini kepada peserta Risda.

Azmin berkata, tindakan itu diambil kerana harga purata Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) dilihat berada pada paras stabil iaitu mencecah lebih RM6.15 sekilogram.

Azmin berkata, pendirian kerajaan PH adalah menggalakkan pekebun kecil Risda tidak bergantung pada hasil getah dan kelapa sawit kerana harga komoditi itu tidak menentu, selain pasaran antarabangsa tidak memihak peserta itu.