Orang hasut gadis bunuh diri boleh dihukum 20 tahun penjara, kata SKMM

PETALING JAYA: Orang-orang yang menghasut seorang perempuan berusia 16 tahun di Sarawak membunuh diri, berdasarkan undian di Instagram sama ada dia hidup atau mati, boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pesalah boleh dihukum bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun.

“SKMM bersedia memberi apa-apa bantuan daripada segi teknikal sekiranya diperlukan pihak polis,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

SKMM menambah media sosial adalah platform untuk pengguna, termasuk remaja, untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Oleh itu, pengguna perlu bertanggungjawab semasa menggunakan internet.

“Jika seseorang dilihat cenderung ke arah membunuh diri, segera maklumkan kepada polis,” katanya.

Dilaporkan perempuan itu lompat dari tingkat atas sebuah rumah kedai selepas 69% responden meminta dia memilih kematian.

Polis Sarawak berkata dia mengadakan satu undian “Really Important, Help Me Choose D/L” di Instagram beberapa jam sebelum membunuh diri pada 13 Mei.

“D/L” bermakna “Mati/Hidup”.

Reuters bagaimanapun melaporkan versi undian yang berbeza.

Agensi berita itu melaporkan Instagram mengkaji semula akaun remaja itu dan mendapati undian dalam talian itu, yang berjalan selama 24 jam, berakhir dengan 88% memilih “L” (Hidup), kata Wong Ching Yee, ketua komunikasi Instagram di Asia-Pasifik.

Ketua Polis Padawan, Aidil Bolhassan bagaimanapun memberitahu Reuters angka undian mungkin berubah selepas berita kematian perempuan itu tersebar.

Pada Februari, Instagram melarang kandungan berkaitan mencederakan diri sendiri, bagi melindungi pengguna-pengguna yang mudah terdedah kepada bahaya, kata Reuters.

Ia susulan tekanan daripada ibu bapa seorang gadis British, yang percaya menonton akaun Instagram berkaitan mencederakan diri sendiri dan kemurungan membawa kepada anak mereka membunuh diri pada 2017.