Pasaran getah ditutup kebanyakannya rendah

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup kebanyakannya rendah dalam dagangan serba lengang hari ini, dipengaruhi oleh prestasi kontrak pasaran hadapan getah yang lemah dan penyusutan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Menurutnya, penurunan dialami pasaran getah Kuala Lumpur itu turut dipengaruhi oleh penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS.

“Laporan menyatakan kalangan pelabur masih berhati-hati terhadap kemungkinan ekonomi lebih perlahan akibat pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang terus berlanjutan,” katanya.

Sementara itu, kontrak pasaran penanda aras Bursa Komoditi Tokyo bagi penghantaran Oktober turut susut di tengah-tengah kebimbangan Washington dan Beijing akan terus terikat dalam perang dagangan lebih buruk dan menjejaskan ekonomi global.

Pada tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 berkurangan 1.0 sen kepada 614.0 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 0.5 sen kepada 480.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 naik 1.5 sen kepada 615.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 1.0 sen kepada 480.0 sen sekilogram.