Pemandu teksi Korea bakar diri bantah khidmat kongsi perjalanan

Seorang pemandu teksi membakar dirinya kerana membantah pengenalan perkhidmatan perkongsian perjalanan oleh pengusaha aplikasi panggilan teksi Korea Selatan. (Gambar Facebook)

SEOUL: Seorang pemandu teksi membakar dirinya sehingga mati, hari ini sebagai membantah pengenalan perkhidmatan perkongsian perjalanan oleh pengusaha aplikasi panggilan teksi negara itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis.

Lelaki berusia 76 tahun itu yang nama keluarganya dikenal pasti sebagai Ahn, membakar dirinya pada pukul 3.19 pagi berhampiran Plaza Seoul di pusat bandaraya itu, menurut polis.

Ahn segera dikejarkan ke hospital di mana beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mangsa dipercayai membakar dirinya sendiri sebagai membantah penerimaan perkhidmatan perkongsian perjalanan memandangkan dia dilaporkan meluahkan penentangan terhadap perkongsian perjalanan pada badan teksinya.

Dua pemandu teksi membakar diri mereka sehingga mati pada Disember 2018 dan Januari tahun ini sebagai membantah perkhidmatan itu.

Seorang lagi pemandu bertindak membakar dirinya pada Februari namun berjaya diselamatkan.

Persatuan teksi begitu menentang pengenalan perkhidmatan perkongsian perjalanan oleh pengusaha aplikasi panggilan teksi seperti Kakao Mobility kerana mendakwa ia akan menjejaskan perniagaan mereka.

Pemandu teksi mendakwa perkhidmatan perkongsian perjalanan pada akhirnya akan menyebabkan pelanggan mereka lari kerana ia boleh digunakan sepanjang masa memandangkan waktu kerja yang fleksibel ketika ini membenam tanggapan tradisi mengenai masa berulang-alik ke tempat kerja.