Restoran Korea berhabis RM2 juta kerana demam K-pop

Kerana demam K-pop, lebih dari 35 jenis makanan korea disediakan untuk para penggemar.

Fenomena demam K-pop yang melanda negara ini sejak lebih 10 tahun lalu menjadi gaya hidup terbaru masyarakat Malaysia.

Demam itu terus menjadi “wabak” khususnya kepada golongan muda apabila kumpulan Korea iaitu Blackpink didatangkan khas untuk membuat persembahan baru-baru ini dengan lagu terbarunya, SOLO.

Ia tidak terhenti di situ, makanan Korea juga turut menjadi kegilaan masyarakat Malaysia sehinggakan pengurusan Chir Chir Fusion Chicken Factory Malaysia sanggup membelanjakan hampir RM2 juta untuk membuka 2 cawangan di negara ini sejak 2016.

Restoran Korea ini sering dikunjungi pelanggan dan akan penuh pada setiap kali hujung minggu.

Pengarah Urusannya, Lawrence Tan berkata, pihaknya sanggup mengeluarkan belanja besar selepas mendapati lebih 35 jenis makanan habis dijual di restoran berkenaan di Korea Selatan.

Ini kerana ia bukan sahaja mempunyai cita rasa unik, malah memenuhi selera masyarakat tempatan.

“Restoran ini mempunyai lebih 400 rangkaian di Korea Selatan dan kami berbangga kerana dapat membawa jenama ini ke Malaysia sejajar dengan populariti K-pop yang melanda negara ini sejak lebih 10 tahun lalu.

“Selepas beroperasi di Kuala Lumpur sejak 2016, kami kini membuka cawangan ke-2 di The Mall Mid Valley South Key, untuk memberi peluang kepada peminat K-pop tempatan dan Singapura menikmati makanan yang dibawa khas dari Korea Selatan.

Pembukaan cawangan restorannya yang kedua adalah selaras dengan permintaan tinggi daripada pelanggan sendiri di sekitar Lembah Klang yang benar-bemar menggemari makanan korea.

“Semua resipi, rempah dan tepung diimport khas dari Korea Selatan bagi memastikan rasanya tidak berubah. Bagi memastikan pelanggan terutama umat Islam boleh menikmati juadah ini tanpa was-was, kami hanya membeli ayam dari pembekal terkenal yang mempunyai sijil halal diiktiraf pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, paling menarik semua hidangan hanya dimasak selepas pesanan dibuat dan bukannya seperti restoran makanan segera, bertujuan memastikan setiap hidangan lebih segar dan enak.

Katanya, restoran ke-2 di Mid Valley South Key boleh memuatkan kira-kira 100 pelanggan dalam satu-satu masa dan sepanjang Ramadan pihaknya memperkenalkan pakej untuk 4 orang bernilai RM89.90 merangkumi 2 set utama, 2 set sampingan dan 3 air.

Kami kini dalam peroses untuk mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan berkaitan pada sos dan resipi yang kami gunakan, selain restoran kami sendiri.

“Kami yakin, apabila memperoleh sijil halal perniagaan ini akan lebih meningkat kerana pengguna terutama umat Islam akan yakin untuk menikmati makanan yang kami sediakan.

“Semua kakitangan kami penduduk tempatan, namun tukang masak kami dilatih tukang masak dari Korea Selatan dan Singapura bagi memastikan rasa masakan juadah yang disediakan sama dengan apa yang dijual di Korea Selatan,” katanya.

Menurutnya, bagi membantu penduduk tempatan menambah pendapatan, pihaknya membuka peluang perniagaan kepada mana-mana usahawan bumiputera yang berminat membuka cawangan tanpa mengira saiz kedai.

Katanya, mereka yang berminat boleh datang ke Chir Chir Fusion Chicken Factory, Mid Valley South Key untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Chir Chir Fusion Chicken Factory menawarkan 35 jenis makanan bermula dengan harga RM16.90 hingga RM33.90 setiap set.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]