Saya akan suruh mereka bawa plakad, KPN bergurau keperluan SB perkenalkan diri

Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini memperlekehkan permintaan Warisan supaya anggota polis Cawangan Khas (SB) supaya memperkenalkan diri ketika menghadiri majlis yang dianjurkan parti itu, mengatakan polis akan terus melaksanakan tugasnya dan tidak mahu membuat isu berhubung perkara itu.

“Mungkin saya akan suruh orang saya membawa plakad untuk memperkenalkan diri mereka sebagai polis,” katanya ketika ditanya adakah beliau bersetuju dengan permintaan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tugas kepada timbalannya, Mazlan Mansor.

Semalam, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata tidak ada isu sekiranya anggota SB mahu menghadiri acara parti itu atau kerajaan, tetapi mereka perlu memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Wong, yang juga menteri pertanian dan industri makanan Sabah, berkata ini adalah usaha untuk membersihkan nama parti berhubung laporan mengenai anggota SB dilarang menghadiri sidang media Warisan.

Beliau juga menafikan insiden anggota SB dihalang menghadiri sidang media pemimpin Warisan sentiasa berlaku, sebaliknya berkata, sejauh pengetahuannya, ia hanya berlaku 1 atau 2 kali.

Apabila ditanya sama ada anggota SB perlu perkenalkan diri mereka seperti itu, Hamid, yang merupakan bekas ketua SB, berkata polis akan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

“Dalam sejarah polis, tidak ada kesukaran dalam menjalankan tugas di mana-mana majlis pun,” katanya.

Beliau juga berkata tiada tangkapan baru selepas 4 anggota IS yang didakwa merancang melakukan serangan dan pembunuhan berprofil tinggi di negara ini. Mereka ditahan di Terengganu dan Lembah Klang minggu lepas.

Mereka merancang pembunuhan dalam usaha membalas dendam terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan semasa rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya tahun lepas.

Suspek mengaku mereka adalah sebahagian daripada sel IS dan sedia melancarkan serangan di negara ini pada minggu pertama Ramadan.

Polis kini sedang memburu 2 rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia untuk memudahkan siasatan.

“Mereka masih berada di negara ini,” tambah Hamid.

Beliau menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai trio – Syazani Mahzan, Muhamad Nuurul Amin Azizan dan Fatir Tir – untuk menghubungi polis.