Anwar bersama rakyat jika tolak cadangan PTPTN larang keluar negara

BANGI: Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan dia bersama rakyat jika orang ramai menolak cadangan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

Presiden PKR itu merasakan rakyat tidak akan bersetuju jika Putrajaya menggunakan pendekatan “agak keras” bagi mengatasi masalah pembayaran balik pinjaman pendidikan kerana siswazah yang baru menamatkan pengajian dan belum berjaya mendapatkan pekerjaan akan terkesan.

“Mereka pinjam tetapi tidak ada kerja. Hendak tekan lagi sebab apa?” katanya kepada pemberita di satu program berbuka puasa malam tadi.

Beliau berharap rakyat memberi pandangan positif dan menggesa kerajaan memberikan kelonggaran kepada peminjam.

“Supaya keputusan tidak dirasa menekan peminjam,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu akan mengemukakan cadangan kepada jemaah menteri untuk memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar, jika rakyat mahu.

Beliau berkata larangan tersebut satu daripada cara berkesan untuk peminjam ingkar membayar balik pinjaman mereka.

Pada Mac, PTPTN dilaporkan tidak bercadang memperkenalkan semula larangan itu.

Gerakan Islam jangan diam diri

Anwar turut mengulas mengenai keperluan gerakan-gerakan Islam menjawab kenyataan-kenyataan daripada kelompok pelampau yang dianggap mewakili Islam.

Beliau berkata, walaupun pandangan “kelompok-kelompok kecil” itu tidak boleh dihalang, gerakan-gerakan Islam tidak boleh membiarkan mereka

“Kita harus beri ruang pada mereka tetapi kita jangan pula berdiam diri hingga menimbulkan keresahan, hingga ada yang percaya kelompok ekstrem itu suara masyarakat Islam,” katanya.

13 Mei

Ditanya tentang keperluan mewujudkan suatu suruhanjaya kebenaran dan rekonsiliasi tentang tragedi 13 Mei 1969, Anwar menyerahkan perkara berkenaan kepada golongan pengkaji sejarah.

“Saya pula ambil pendirian hendak lihat ke hadapan. Mengenai ancaman sekarang ini, sudah ada naratif baru tentang kaum-kaum,” katanya.

Beliau mengingatkan sifat perkauman bukan masalah dalam kalangan orang Melayu sahaja.

“Ada juga bangsa Cina atau India yang naratif mereka terlalu keterlaluan,” katanya.

Beliau menambah terserah kepada kerajaan sama ada perlu membentuk agensi bagi menilai semula tragedi itu.

“Islam di Malaysia ini tidak boleh lari dari kenyataan untuk terus bersangka baik, dan memupuk semangat kekeluargaan antara kaum.”