Badan Peguam gesa kaji semula proses representasi kes jenayah

Peguam negara mempunyai budi bicara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding dalam kes jenayah.

PETALING JAYA: Badan Peguam menggesa pendakwa raya mengkaji semula proses representasi, mengatakan ia mungkin membahayakan keadilan dan kecekapan dalam prosiding jenayah.

Presiden Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata prosedur baru yang dimulakan pendakwa raya awal bulan ini juga membawa kepada kesukaran dalam bidang jenayah.

“Badan Peguam menggesa pendakwa raya melakukan kajian lanjutan ke atas prosedur itu demi mempromosikan system pentadbiran keadilan yang cekap dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu pekeliling baru-baru ini, Peguam Negara Tommy Thomas, yang juga pendakwa raya, berkata prosedur baru untuk mempertimbangkan representasi, melibatkan peguam cara negara III, peguam cara negara II dan peguam cara, adalah “berlapis-lapis” dan akan “mengambil masa “.

Beliau juga berkata tidak perlu penangguhan perbicaraan sementara representasi sedang dipertimbangkan.

Peguam, mewakili orang yang dituduh, membuat representasi kepada pendakwa raya untuk menarik balik atau mengurangkan dakwaan berdasarkan fakta dan keadaan tertentu.

Permohonan sedemikian dibuat kepada peguam negara yang mempunyai budi bicara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding dalam kes jenayah.

Fareed berkata proses itu perlu dibaikpulih ekoran keputusan-keputusan pendakwa raya menghentikan atau menarik balik prosiding beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini.

Bulan lalu, seorang wanita dibebaskan daripada tuduhan membunuh pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, selepas peguamnya membuat representasi kepada pendakwa raya.

Pembebasan Ambika MA Shan mengundang kecaman daripada kumpulan-kumpulan sivik tempatan dan Indonesia, yang berkata Adelina Jerima Sau dinafikan keadilan.

Fareed berkata prosedur membincangkan representasi sebaliknya harus dibuat oleh sebuah jawatankuasa.

Kes-kes melibatkan hukuman mati boleh dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pegawai-pegawai berjawatan tinggi di Jabatan Peguam Negara, manakala satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada timbalan pendakwa raya kanan negeri dan pegawai-pegawai kanan dari Putrajaya boleh menangani kes-kes lain, katanya.

Beliau menambah ini akan lebih kemas, cekap dan akan mengurangkan masa.

Beliau juga berkata Jabatan Peguam Negara tidak harus membantah timbalan pendakwa raya yang bersetuju dengan permintaan penangguhan yang munasabah sementara menunggu hasil pertimbangan representasi sesebuah jawatankuasa.