DAP kini di hati Bumiputera Islam Sabah

Setelah Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum ke-14, DAP yang pernah menjadi pembangkang sebelum ini dan sering dipandang sinis oleh sesetengah kaum kini mendapat tempat dalam arena politik tanah air.

Perjuangan DAP sekarang dapat dilunakkan dengan wujudnya gabungan parti-parti Melayu dan parti-parti pelbagai kaum dalam ikatan PH.

Kemenangan DAP di Parlimen Sandakan pada pilihan raya kecil 11 Mei membuktikan DAP mendapat tempat di hati pengundi Bumiputera Sabah. Nampaknya politik perkauman tidak akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Sabah, malah di Sarawak pun.

Pada PRU tahun lepas, DAP memenangi majoriti 10,098 undi, tetapi pada PRK 11 Mei, ia berjaya menambahkan jumlah undinya sebanyak 1,423 undi. Peristiwa ini menunjukkan DAP mendapat tempat dalam kalangan Bumiputera beragama Islam di Sandakan.

Mencanangkan persepsi politik yang salah bahawa DAP kononnya “anti Islam” dan didokong kaum Cina yang mahu mengambil alih kuasa daripada kaum Bumiputera jelas tidak berhasil apabila dilihat keputusan PRK Sandakan ini.

Persepsi berubah

Politik perkauman dan keagamaan yang didendangkan oleh pakatan Umno-PAS semasa berkempen tempoh hari tidak berjaya meraih undi Bumiputera beragama Islam di Sandakan untuk memenangkan calon Parti Bersatu Sabah (PBS).

Aneh juga bagi Umno dan PAS memberi sokongan kepada PBS, sebuah parti yang tidak berteraskan Islam dan kaum tertentu, sedangkan Umno dan PAS kini asyik menguar-uarkan isu kaum dan agama untuk memikat hati pengundi Melayu dan Islam.

Jelas DAP tidak menang di Sandakan atas undi Cina sahaja. Pengundi Cina membentuk hanya kira-kira 51% pengundi di Sandakan manakala kaum Bumiputera beragama Islam membentuk 45%. Tanpa sokongan Bumiputera beragama Islam, mustahil calon DAP dapat menang dengan majoriti lebih besar, dan dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi hanya 54.4%.

Persepsi pengundi berubah mengikut senario dan selera politik. Sebelum ini DAP hanya dikenali sebagai parti pembangkang. Tetapi kini sesudah PRU-14, DAP sebahagian daripada parti pemerintah dalam PH. Beberapa tokoh yang berwibawa dalam DAP memegang jawatan menteri dan mereka ini dilihat cekap dan jujur menjalankan tugas. Faktor ini mempengaruhi dan meyakinkan pengundi di Sandakan.

Sokongan yang diberi oleh Umno dan PAS kepada calon PBS dilihat sebagai perkara yang agak pelik oleh pengundi memandangkan kedua-dua parti itu tidak ada apa-apa kaitan dengan PBS. Umno sudah tumpul taringnya di Sabah. PAS pula dilihat tidak relevan di Malaysia Timur.

PBS pula parti yang sudah pudar setelah tidak menang besar dalam PRU14. Tambahan pula parti itu tidak lagi bersama dalam Barisan Nasional. Pengundi juga agak kecewa dengan PBS setelah BN gagal pada PRU14. PBS merupakan parti berbilang kaum walaupun ia dilihat sebagai parti kaum Kadazan-Dusun.

PBS pernah menguasai Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1985 sehingga 1994. Parti ini juga pernah menguasai 14 kerusi Parlimen dalam PRU 1990. Insiden lompat parti yang menyebabkan kerajaan PBS tumbang kepada BN pada 1994.

Terpalit rasuah

Nasib Umno pula lebih teruk lagi di Sabah. Selepas kalah PRU14, 7 ahli Parlimen dan 17 Adun dipilih tetapi hanya 1 ahli Parlimen dan 1 Adun yang masih setia kepada Umno. PAS pula tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Sabah dan Sarawak sejak pembentukan Malaysia.

Umno mendakwa 9,700 ahlinya di Sandakan akan mengundi pada PRK lepas, dan mengharapkan semua mereka menyokong calon PBS. Tetapi harapan ini meleset sekali. PBS yang disokong Umno dan PAS hanya berjaya mendapat 4,491 undi berbanding calon DAP yang mendapat 16,012 undi, dengan majoriti 11,521.

Dana berkempen sudah berkurangan, keluh mereka. Politik wang sudah tidak wujud lagi. Meraih undi secara sogokan wang tidak timbul lagi bawah Malaysia Baru. Rupanya, sekarang banyak ahli Umno meninggalkan parti. Selepas PRU14, nasib Umno di Sabah terus merudum.

Parti Warisan pula yang berjaya mengubah struktur politik baru. Justeru, sukar bagi Umno untuk membuat kemunculan semula di Sabah dalam masa terdekat. Lagi pun, selepas PRU14 terbongkar ramai pemimpin Umno terpalit dengan pelbagai isu rasuah dan integriti.

PAS pula sanggup bersama Umno dan secara tidak langsung imej kedua-dua parti itu terjejas.

Pengaruh Warisan dan kepimpinannya dalam masyarakat Islam di Sabah semakin jitu dan Warisan cepat mengambil tempat Umno dengan sokongan daripada PH.

PAS pula memang dari awal lagi tidak mendapat tempat di hati pengundi Sabah.

Maka usaha pemimpin Umno dan PAS berkempen untuk calon PBS terbukti sia-sia. Helah Umno-PAS untuk menegakkan “perpaduan ummah” gagal di Sabah. PAS dilihat sebagai parti yang kabur hala tujunya dan malangnya persepsi terhadapnya adalah sebuah “parti ekstrem” dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Sabah.

Pengundi terus keliru dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Apakah perjuangannya berteraskan agama, kaum, pemecahan undi atau mahu menegakkan kebenaran sehingga sanggup bersama Umno yang terpalit dengan pelbagai masalah integriti.

Sentimen agama

PAS memang sukar mendapat tempat di Malaysia Timur di mana sentimen agama tidak begitu kuat. Umno pula dengan laungan “kepentingan kaum dan agama” juga sukar mendapat tempat kerana penduduk Malaysia Timur terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Biarpun Umno dan PAS bekerjasama, gabungan ini tidak dapat mempengaruhi pengundi di Sandakan, malah di Sabah dan Sarawak pun.

Nampaknya PAS dan Umno boleh melupakan sahaja Malaysia Timur pada PRU akan datang. Sifirnya jelas, tanpa sokongan pengundi Malaysia Timur, mustahil Umno-PAS dapat menuntut Putrajaya.

Kekalahan PBS di Sandakan yang disokong Umno hanya menggambarkan Umno sudah tidak mendapat tempat di hati pengundi di Sabah. Umno dilihat masih tidak mahu memutuskan hubungannya dengan pemimpinnya yang reputasi mereka tercemar.

Mengundang tokoh-tokoh yang terpalit dengan tuduhan rasuah untuk berceramah di Sandakan membawa kepada kekalahan PBS.

Apatah lagi Umno sanggup bekerjasama dengan PAS dan gabungan itu akan menakutkan lagi orang bukan Islam dan Bumiputera yang celik minda.

Dalam pada itu, pengundi masih mengharapkan PH dan Warisan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang mencerminkan profil penduduk negara ini.

Kemenangan di Sandakan harus dijadikan sebagai suatu suntikan semangat untuk terus menerajui negara dengan aman, adil dan saksama.

Moaz Nair ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.