Ekonomi tak stabil: Pengguna perlu bijak berbelanja untuk Raya

Aziz Ninggal berkata pengguna perlu bijak mengimbangi antara keperluan dan kehendak.

KUALA LUMPUR: Beberapa pengguna di Lembah Klang mengeluh dengan harga barangan bagi persiapan Aidilfitri yang dilihat agak tinggi berbanding tahun lalu.

Seorang pengguna, Aziz Ninggal yang bekerja sebagai pembantu sumber manusia, berkata kos itu dapat dilihat melalui pembelian barang basah dan kering oleh keluarganya.

“Jika kita lihat dari segi juadah berbuka puasa dan barang kelengkapan Raya untuk keluarga, ia agak meningkat dalam keadaan ekonomi kita yang umum tahu agak kurang baik,” katanya ketika FMT membuat tinjauan di sekitar Bazar Ramadan Kuala Lumpur.

Aziz, 49, merasakan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih membebankan.

“Ini agak mendukacitakan kepada rakyat. Namun ini pandangan saya, mungkin orang lain ada pandangan masing-masing,” katanya.

Aziz bagaimanapun berkata, bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang itu, dia berkata pengguna perlu bijak mengimbangi antara keperluan dan kehendak.

“Macam saya, beli ikut kemampuan. Mana yang boleh pakai lagi saya pakai. Manakala baju anak-anak saya perlu pandai cari tempat yang ada buat promosi,” katanya.

Bermula Julai lalu, ringgit muncul sebagai mata wang ke-4 di rantau ini yang mencatat prestasi terburuk selepas baht, yuan dan rupee.

Dua bulan kemudian, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ringgit berada di bawah nilai sebenar disebabkan faktor ekonomi dunia tidak menentu. Ringgit juga menyusut kerana perang dagang Amerika Syarikat dan China.

Selepas ringgit tidak pulih, Mahathir tidak menolak kemungkinan kerajaan mengambil langkah melindungi ringgit jika terus diserang spekulator mata wang.

Ran Raden membeli 12 pasang baju Raya untuk anak, menantu dan cucu, tahun ini.

Seorang lagi pengguna, Ran Raden yang berasal dari Sarawak berkata walaupun harga barangan persiapan Raya lebih kurang dengan tahun lepas tetapi beliau mengambil sikap berjimat cermat.

Ran, 53, berkata jika kuih raya mahal, dia kebiasaannya mengambil inisiatif sekeluarga membuat kuih raya sendiri.

“Manakala biskut-biskut beli sikit untuk tambah-tambah.

“Bagaimanapun, saya lihat suasana Raya tahun ini tetap meriah walaupun ekonomi tidak berapa baik,” katanya.

Baginya, baju raya tetap menjadi keutamaan dan akan membelinya setiap tahun dengan warna sedondon.

“Harga boleh tahan, tetapi saya beli hanya baju Raya untuk lelaki dalam RM70 hingga RM80. Saya akan cari yang ada promosi 40 hingga 50%.

“Begitu juga baju kurung untuk wanita dalam RM60 ke RM70. Tahun ini beli 12 pasang untuk anak, menantu dan cucu,” katanya.

Lukman Adam hanya beli ikut harga kemampuan kerana masih belajar di UTM.

Manakala, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Lukman Adam, 21, berkata buat masa ini dia hanya meninjau untuk melihat harga baju Raya.

Katanya, setakat ini harga baju raya dilihat seperti tahun-tahun sebelum ini dan ada juga yang agak mahal mengikut jenis kain dan kualiti.

“Jika pelanggan puas dengan kualiti kain tak jadi masalah.

“Macam saya beli ikut harga kemampuan lebih-lebih lagi masih belajar,” katanya.