Gobind nafi RTM tak siar wajah KM, menteri Sarawak

Gobind Singh Deo (3 dari kanan) ketika meninjau bahagian pemprosesan bungkusan Pos Malaysia.

SHAH ALAM: Tuduhan seorang menteri Sarawak bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat liputan program kerajaan negeri itu tanpa menayangkan wajah ketua menteri dan menterinya adalah tidak benar, kata Gobind Singh Deo.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau sudah meminta RTM memberikan penjelasan serta melihat sendiri beberapa rakaman liputan.

“Saya sudah melihat untuk diri saya sendiri, beberapa daripada rakaman dan liputan yang diberikan, yang mana ada pemimpin-pemimpin dari parti politik tertentu disiarkan.

“Polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) kita beri ruang kepada media buat keputusan, gambar mana yang hendak tonjolkan dalam sesuatu laporan,” katanya sewaktu ditemui media di Majlis Mesra Ramadan bersama kakitangan Pos Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Hamzah menyatakan rasa kecewanya terhadap laporan RTM dan mempersoalkan apakah gunanya liputan program kerajaan negeri tanpa menayangkan wajah ketua menteri dan menteri-menteri negeri.

Karim mendakwa, ketua menteri dan menteri negeri itu mengadakan pelbagai sidang media mengenai pelbagai program tetapi RTM gagal memberikan liputan sewajarnya.

Kenyataan itu dibuat Karim walaupun RTM sendiri sudah menjelaskan dalam tempoh 4 bulan pertama, sebanyak 181 liputan aktiviti melibatkan ketua menteri, menteri dan kerajaan negeri Sarawak.

Gobind percaya, RTM sudah bertindak secara adil dalam memaparkan program pemimpin kerajaan Sarawak serta menegaskan tidak akan mengarahkan RTM lakukan perkara bertentangan dengan prinsip PH.

Katannya, sekiranya wujud rasa tidak puas hati daripada mana-mana pihak, termasuk pimpinan kerajaan negeri terhadap laporan RTM, mereka seharusnya membuat laporan bertulis kepada kementerian atau menghantar aduan ke pengarah RTM negeri.

Remaja bunuh diri

Mengulas mengenai kejadian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Sarawak yang bertindak membunuh diri berdasarkan undian di Instagramnya, Gobind berkata beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu berkenaan.

Gobind turut berpandangan isu itu harus diatasi secara berhati-hati, selepas terdapat pihak tertentu menjadikan media sosial untuk melakukan perkara yang memberi kesan negatif kepada diri.

“Ini perkara serius dan harus diatasi secara berhati-hati. Saya akan berbincang dengan SKMM bagaimanakah kita dapat lihat dan bawa isu ini. Kita akan rujuk kepada kod penal dan peruntukan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia bagi perkara ini,” katanya.

Gobind turut tidak menolak kemungkinan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia akan dilakukan sekiranya masih terdapat ruang yang lompong bagi mengatasi insiden berlaku terhadap remaja di Sarawak itu.

“SKMM akan lihat apakah yang berlaku, saya dimaklumkan polis juga akan lihat perkara ini. Saya minta SKMM dapatkan fakta dahulu. Pada masa sama, kita mahu lihat bagaimanakah Akta Komunikasi dan Multimedia dapat atasi masalah seperi ini.

“Saya sudah bangkitkan mengenai isu buli siber dan juga perkara ini, ini adalah antara perkara yang kita akan perbaiki di masa depan.

“Saya akan adakan mesyuarat dengan SKMM, sama ada perlu atau tidak kita bertemu dengan pihak Facebook Malaysia, ia akan kita putuskan selepas berbincang dengan SKMM,” katanya.