Hishammuddin gesa Putrajaya tuntut RM1.48 bilion dalam perjanjian tukar tanah gagal

Hishammuddin Hussein berkata, Kementerian Pertahanan di bawah pimpinannya memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap syarikat terbabit pada 2 November 2015 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein menggesa Putrajaya menuntut semula kerugian RM1.48 bilion daripada perjanjian “land swap” yang gagal di mukim Plentong dan Tebrau, daerah Johor Bahru.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, perjanjian tanah berkeluasan 382.16 ekar yang diluluskan Kabinet pada 1996, dibatalkan kemudian.

Katanya, ketika menjadi menteri pertahanan, beliau mengambil tindakan tegas terhadap perjanjian gagal itu dengan memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap syarikat terbabit pada 2 November 2015 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Malangnya, pada 17 Februari 2017, pihak syarikat didapati gagal mematuhi persetujuan tersebut walaupun pihak kementerian sedaya upaya membantu sebagaimana diperlukan penghakiman persetujuan.

“Memandangkan keseriusan isu ini, saya mengarahkan kementerian memfailkan writ saman ke-2 di atas kegagalan syarikat dengan tuntutan ganti rugi RM 1.48 bilion.”

Beliau turut menggesa Putrajaya tidak meneruskan 7 perjanjian pertukaran tanah yang belum ditandatangani seperti dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Beliau berkata, jika mekanisme pertukaran tanah itu tidak memanfaatkan Angkatan Tentera Malaysia, kerajaan perlu tampil dengan penyelesaian lebih berkesan dan menjimatkan wang, bukannya menyalahkan pihak lain.

Hishammuddin menyokong langkah Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung semua 16 perjanjian pertukaran tanah itu yang diluluskan Kabinet sejak 1995.

“Saya juga telah meminta wakil saya memfailkan laporan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berkaitan semua 16 perjanjian ‘land swap’ tanpa pilih bulu.

“Sebarang maklumat yang kami miliki akan dihantar terus kepada SPRM bagi membantu siasatan tersebut,” katanya sambil menambah tiada siapa kebal daripada undang-undang dalam isu itu seperti dinyatakan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Menteri-menteri dan perdana menteri terdahulu perlu mengambil tanggungjawab terhadap tindakan mereka jika didapati bersalah di sisi undang-undang.”

Hishammuddin berkata demikian selepas Kementerian Pertahanan membuat 14 lagi laporan berhubung perjanjian pertukaran tanah kepada SPRM hari ini, selepas 2 laporan berkaitan isu sama dilaporkan Selasa lalu.

Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan mendakwa 13 daripada 16 projek pertukaran tanah di bawah pentadbiran terdahulu membabitkan Najib Razak dan Hishammuddin dengan kerugian lebih RM500 juta.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.