Jangan main politik dalam isu hak peribumi, kata NGO Sabah

NGO Sabah, Harus mendakwa ahli politik terlibat dalam isu masyarakat peribumi tanpa menghiraukan hak mereka.

KOTA KINABALU: Sebuah NGO tempatan yang memperjuangkan hak Orang Asli menggesa ahli politik berhenti bercakap mengenai isu komuniti itu demi meraih pencapaian politik.

Bercakap kepada FMT, jurucakap Hak Asal Rakyat Untuk Sabah (Harus) Joseph Philip berkata sejak kebelakangan ini, kumpulan itu menyedari peningkatan trend di mana ahli politik “campur tangan” dalam isu orang asal tanpa menghiraukan hak masyarakat peribumi.

“Ini termasuk pengumuman yang dibuat Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Aidi Moktar bahawa sesetengah kaum asal Indonesia akan dianggap sebagai penduduk peribumi,” katanya.

Beliau berkata, Harus juga tidak berpuas hati apabila Aidi cuba “memperdaya” rakyat dengan mengatakan pelantikan ketua kampung dan majlis pengurusan masyarakat kampung dilakukan melalui proses demokrasi, terutama di kampung penduduk peribumi.

Katanya, ini tidak benar kerana walaupun di kampungnya, kedua-dua jawatan itu diisi melalui pelantikan politik dan penduduk kampung tidak pernah dipanggil untuk mengundi pemimpin pilihan mereka.

“Selain itu, kerajaan negeri dan ahli politik lain menjadikan Mahkamah Anak Negeri seperti mainan politik mereka, mengubah sistem mengikut kehendak mereka,” katanya.

Jurucakap Harus, Joseph Philip.

Beliau bersetuju dengan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum bahawa Mahkamah Anak Negeri harus ditadbir oleh orang bukan Islam, mengatakan majoriti adat peribumi tidak dapat diselesaikan oleh orang Islam.

Selain itu, katanya, orang Islam sudah mempunyai Mahkamah Syariah untuk menjaga hak mereka.

“Bulan ini, kita akan merayakan Festival Harvest, satu perayaan penting bagi penduduk peribumi. Malangnya, saya tidak tahu apa yang kita raikan, kerana hak kami terus dipijak seperti ini.

“Oleh itu, Harus memutuskan untuk mengadakan perarakan aman di Penampang pada 30 Mei dan seterusnya, berkumpul di Kompleks Sukan Penampang untuk mengumumkan tuntutan kami kepada pemimpin di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mempunyai 12 tuntutan termasuk perlindungan hak asasi peribumi, pembersihan daftar pemilih, peningkatan keselamatan sempadan dan menghentikan sebarang operasi untuk mendaftarkan pendatang tanpa izin.

Kumpulan itu juga menyeru pihak berkuasa memastikan Mahkamah Peribumi bebas daripada pengaruh politik dan maklumat yang betul tentang sejarah Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran.

“Kami juga mahu kerajaan menghentikan pengambilan tanah, terutamanya tanah milik penduduk peribumi, hentikan menyerang aktivis hak asasi dan melaksanakan Borneonisasi dengan menyediakan kuota yang mencukupi dan adil untuk peribumi di sektor awam.”

Majlis itu dipanggil sebagai Walking Indigenous 2019.