Jangan malukan anak-anak di khalayak, aktivis beritahu selebriti

Kanak-kanak yang dimalukan ibu bapa secara terbuka akan membuatkan mereka merasa tidak bernilai, bimbang malah tertekan.

KUALA LUMPUR: Apabila seorang ahli perniagaan selebriti memuat naik klip beliau merotan anak perempuannya kerana tidak memakai tudung, ramai yang marah dan membuat laporan polis, dengan beberapa pihak menggesa campur tangan pegawai kebajikan.

Bagaimanapun, bukan beliau seorang yang berkongsi gambar dan klip video anaknya di media sosial kerana ramai lagi selebriti lain mempunyai kebiasaan dalam melakukan perkara yang sama.

Bagi pekerja sosial Ananti Rajasingam, beberapa kiriman di media sosial yang memalukan anak-anak adalah satu bentuk penderaan emosi.

Bercakap kepada FMT, beliau memberi amaran tindakan sedemikian boleh memberi impak yang besar dalam jangka masa yang panjang terhadap anak-anak.

“Apabila anda memalukan atau mengejek anak-anak dan menyiarkannya kepada dunia, anda membuatkan mereka merasa tidak bernilai, bimbang atau malah tertekan.”

Pekerja sosial Ananti Rajasingam.

Beliau menambah kanak-kanak yang dimalukan secara terbuka oleh ibu bapa juga akan terdedah kepada buli di sekolah.

Ahli psikologi, Geshina Ayu Mat Saat bersetuju dengan kenyataan itu, berkata keadaan ini mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar untuk dibuli oleh orang lain juga.

“Pembuli akan melihat ini dan berfikir jika ahli keluarga mereka boleh membuli anak-anak, maka mereka juga boleh. Pembuli akan melihatnya sebagai pas percuma.”

Geshina, yang bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia, turut menyuarakan kebimbangan video atau imej kanak-kanak yang dimalukan itu akan digunakan terhadap mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata Akta Kanak-kanak 2001 dengan jelas menjadikannya satu kesalahan bagi sesiapa yang menyebabkan kecederaan emosi kepada kanak-kanak, sambil menambah undang-undang itu boleh juga digunakan ke atas selebriti.

“Ini adalah tokoh masyarakat yang berpengaruh dan akan ada orang yang berfikir tindakan mereka dapat diterima.”

Sekiranya pendera tidak dihukum, katanya, ia hanya memberi mereka lebih banyak peluang untuk meneruskan penderaan dan menjadikan rumah sebagai persekitaran yang tidak selamat untuk kanak-kanak.

Sementara itu, Ananti mendesak kerajaan menjadikan penderaan emosi sebagai jenayah seperti penderaan fizikal.

“Selebriti tidak boleh dibenarkan memalukan anak-anak mereka seperti ini. Untuk berkongsi kisah hidup mereka di media sosial adalah satu perkara, tetapi mendapat populariti dengan menggunakan anak-anak adalah perkara lain.”