Kementah lapor SPRM baki 14 kes ‘land swap’

Mohd Nasaie Ismail (2 dari kanan) ketika hadir membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan hari ini membuat 14 lagi laporan berhubung skandal “land swap” atau pertukaran tanah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail berkata, laporan tambahan berhubung skandal itu dibuat hari ini selepas 2 laporan berkaitan isu sama dilaporkan Selasa lalu.

Nasaie berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kerajaan rugi kira-kira lebih sekurang-kurangnya RM500juta berikutan penyelewengan itu.

“Seperti yang anda semua maklum, Mindef membuat pendedahan skandal ‘land swap’ tanah-tanah kementerian ini pada Khamis lepas melalui Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai Ambrin Buang.

“Beliau yang merupakan bekas ketua audit negara menyiasat tentang 16 kes ‘land swap’ di kementerian ini, sekali gus memberikan impak kepada kita.

“Keseluruhan 16 projek ini melibatkan 2,923 ekar tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan sebanyak RM4.8 bilion.

“Tetapi sehingga Disember, hanya 5 projek berjaya disiapkan, 2 masih dalam pembinaan, bakinya 9 gagal di siapkan atau dalam proses ditandatangani.

“Juga menjadi tanda tanya dan kebimbangan apabila terdapat pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan di 13 daripada 16 projek ini sehingga Suruhanajya Pilihan Raya (SPR) buat pengesahan beberapa kem digunakan untuk pemindahan pengundi.

“Kita memandang serius isu ini dan mahu SPRM siasat dan bawa pihak berwajib yang melakukan perkara ini ke muka pengadilan, bukan sahaja untuk kerajaan terdahulu sebaliknya juga kerajaan kini agar skandal seumpama ini tidak berlaku kelak,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan kepada SPRM Putrajaya hari ini.

Nasaie berkata, pemilihan syarikat pelaksana projek ini juga tidak mengikut syarat kerana tidak berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh iaitu minimum 10% daripada nilai projek yang dibina.

“Ada 4 projek yang nilaian tanah gantian yang diputuskan lebih rendah daripada nilai oleh Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sehingga kerajaan rugi sebanyak RM166 juta.

“Kita bimbang kerajaan bukan sekadar kerugian wang, sebaliknya kedudukan strategik pertahanan terjejas kerana kegagalan projek tersebut,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendakwa 13 daripada 16 projek pertukaran tanah di bawah pentadbiran Barisan Nasional membabitkan Najib Razak dan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein.

Mohamad turut mendakwa kerajaan kerugian lebih RM500 juta akibat perjanjian pertukaran tanah itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.

Kementerian Pertahanan mula melaksanakan pembangunan secara kaedah “land swap” ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sejak 1997 sehingga kini.

Bagaimanapun, Mohamad menafikan Mahathir terbabit dalam perjanjian itu.

Menyusuli pendedahan Mohamad, Najib membidas tindakan Pakatan Harapan yang mendiamkan diri berhubung 4 perjanjian “land swap” di bawah pentadbiran Mahathir pada 1997.

Bekas perdana menteri itu berkata, apa yang “menarik” ialah perdana menteri, menteri pertahanan dan kewangan ketika itu, semuanya berada dalam Pakatan Harapan sekarang.

Beliau merujuk Mahathir, Syed Hamid Albar dan Anwar Ibrahim.

Sementara itu Hishammuddin Hussein mencabar penggantinya, Mat Sabu dan Liew Chin Tong membuktikan beliau mendapat manfaat dari segi kewangan dan politik secara peribadi daripada perjanjian pertukaran tanah itu.