Larang Cawangan Khas masuk sidang akhbar bukan dasar kerajaan, kata Shafie

Shafie Apdal edar bubur lambuk kepada orang ramai di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini menafikan pentadbirannya mengamalkan dasar baru melarang Cawangan Khas memasuki sidang akhbar kerajaan.

Shafie membangkitkan hal itu di mesyuarat jemaah menteri negeri dan mengesahkan tiada keputusan melarang mana-mana pihak memasuki sedang akhbar ketua menteri atau menteri-menteri negeri.

“Tiada tatacara standard atau keputusan untuk itu. Kalau ada, keputusan itu tidak betul dan bukan daripada saya atau kerajaan negeri.

“Anggota SB boleh datang ke acara kami dan sidang akhbar kami pada bila-bila masa,” katanya.

Shafie, yang juga presiden Warisan berkata, kerajaan tiada sebab menghalang SB melaksanakan tugas kerana apa yang diperkatakan pada sidang akhbar itu akan dilaporkan media juga.

“Jadi, apa yang perlu disembunyikan? Ia tidak perlu dan tidak benar.

“Ia bukan dasar kerajaan. Semasa saya menjadi menteri persekutuan dulu pun tidak ada dasar atau sekatan bagi sesiapa pun yang ingin datang sidang akhbar, “katanya.

Isu ini timbul selepas seorang aktivis politik tempatan mendedahkan di Facebook bahawa anggota SB berulang kali diberitahu supaya meninggalkan tempat di mana sidang akhbar Shafie dan pemimpin-pemimpin Warisan diadakan.

Dakwaan itu juga disahkanoleh seorang pegawai SB yang mendedahkan hal itu berlaku di Kota Kinabalu dan tempat-tempat lain di Sabah.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong mengakui hal itu berlaku sebelum ini dan berkata anggota polis boleh hadir jika mereka memperkenalkan diri dan tidak berpura-pura menjadi wartawan.

Sementara itu, Shafie berkata jemaah menteri negeri sedang membuat persiapan mengisi jawatan menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Portfolio itu kosong apabila Stephen Wong meninggal dunia pada Mac.

“Saya akan membuat pengumuman itu esok, jika boleh. Ia hanya untuk mengisi jawatan itu tetapi tidak akan ada rombakan kabinet, “katanya.

Portfolio itu kini dipangku Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon.