Loji Langat 2 mula bekal air Ogos ini

LRAL2 dibina bagi memenuhi permintaan tinggi ekoran peningkatan penduduk dan pertumbuhan pesat di Lembah Klang. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2) akan mula membekalkan 325 juta liter air terawat kepada penduduk Lembah Klang pada Ogos ini.

Jumlah itu merangkumi 25% bekalan air terawat daripada fasa pertama projek terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Abdul Hadi Ali berkata bekalan air terawat tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 325,000 akaun pengguna.

“Kita akan memulakan pengujian dan pengoperasian sebahagian projek LRAL2 bermula 21 Mei ini dan dijangka selesai pada pertengahan Ogos.

“Selepas itu, kami akan dapat serahkan sebahagian loji rawatan itu kepada pihak pengendali air di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat dan sumbangan PAAB hari ini.

Hadi berkata fasa pertama LRAL2 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022 akan membekalkan sejumlah 1,130 juta liter air sehari, dan meningkatkan rizab bekalan air di Selangor.

Projek LRAL2 itu membabitkan 3 fasa termasuk pembinaan loji rawatan air yang akan membekalkan 565 juta liter air sehari ke Takungan Hulu Langat.

Selain itu, mengulas pembelian semula aset konsesi rawatan air Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang disewakan semula kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Hadi berkata proses pengambilalihan tersebut selesai sepenuhnya.

“Pemindahan saham itu telah selesai,” katanya.

Pada 28 September 2018, SPLASH Holdings memeterai perjanjian bersyarat untuk menjual anak syarikat milik penuhnya, SPLASH kepada kerajaan Selangor pada harga RM2.55 bilion.

Pengambilalihan SPLASH oleh Air Selangor merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri dan persekutuan menyeragamkan serta menstruktur semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini bagi meningkatkan margin simpanan air dan mengurangkan pendapatan bukan air selain mencapai objektif bekalan air tanpa gangguan di Lembah Klang dan seluruh negara.

Kos pengambilalihan SPLASH ditanggung sepenuhnya oleh Air Selangor dengan jumlah pembiayaan RM1.9 bilion melalui dana yang disalurkan PAAB manakala baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama 9 tahun.