Lokasi ibu negara baru Indonesia dimuktamad tahun ini

Presiden Joko Widodo mengumumkan keputusan memindahkan pusat pentadbiran negara itu ke Kalimantan kira-kira 2 minggu lalu. (Gambar Reuters)

HANOI: Lokasi ibu negara baru Indonesia akan diputuskan pada tahun ini dan menjangkakan ia akan siap menjelang 2024, kata Menteri Perancangan Bandar, Bambang Brodjonegoro, lapor agensi berita Vitenam.

Beliau berkata kerajaan sedang memuktamadkan kajian mengenainya untuk menentukan projek pecah tanah boleh dimulakan pada 2020 atau 2021 dan siap sepenuhnya menjelang 2024.

Keputusan memindahkan pusat pentadbiran negara itu diumumkan kira-kira 2 minggu lalu selepas Presiden Joko Widodo meluluskan pelan berkenaan.

Awal bulan ini, Widodo melawat timur dan tengah Kalimantan di pulau Borneo untuk mencari lokasi yang sesuai.

Selepas penempatan semula itu, Jakarta kekal sebagai pusat kewangan negara.

Jakarta mempunyai 9.6 juta penduduk, dicampur dengan bandar satelit sekitarnya, jumlah penduduk di wilayah itu dianggarkan 30 juta orang, dianggap pusat bandar paling padat dengan lalu lintas di dunia, membabitkan peruntukan negara lebih AS$7 bilion setiap tahun.

Jakarta juga sering terdedah kepada masalah banjir.