Jururawat Hospital Serdang maut di Cyberjaya selepas hampir seminggu hilang

Kematian Siti Kharina Mohd Kamarudin kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

SHAH ALAM: Polis hari ini mengesahkan kematian Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang hilang hampir seminggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas wanita berusia 40 tahun itu hilang pada 10 Mei lalu.

Bagaimanapun, kira-kira 2.30 petang 15 Mei lalu, polis menerima maklumat mengenai darah yang mengalir keluar dari sebuah kondominium di Cyberjaya oleh pemilik unit itu yang datang bersama seorang juruteknik untuk membaiki mesin basuh.

“Kami bergegas ke tempat kejadian. Kami temui satu mayat di lantai rumah itu.

“Terdapat kesan kelar di dada, leher dan kepala,” katanya pada sidang media hari ini sambil menambah mangsa tidak berpakaian lengkap dan dipercayai sudah meninggal dunia 4 hingga 5 hari.

Azam berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kerana membunuh) dengan 2 warga asing – seorang dari Nigeria berusia 35 tahun dan seorang lagi rakyat Pakistan berusia 38 tahun ditahan di Kuala Lumpur.

Katanya, polis sedang mencari punca kematian, motif pembunuhan dan kaitan antara mangsa dengan 2 warga asing yang ditahan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki Nigeria, Aliwajuwon Gilbertalowonle berusia 30-an untuk membantu siasatan kes itu.

“Jangan buat kesimpulan mengenai motif. Kami sedang memastikan jika unsur perniagaan ialah faktornya.”

Katanya, mayat Siti Kharina ditemui di kondominium yang disewanya, tetapi pihaknya tidak pasti berapa lama mangsa menyewa unit itu.

Beliau berkata, mangsa meninggalkan suaminya, seorang anak perempuan berusia 14 tahun dan sepasang kembar berusia 10 tahun.

Wanita itu dipercayai keluar pada 9 Mei lalu dan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan selepas itu.